Home » Langit Terbuka » Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri untuk OKU diperkenalkan

Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri untuk OKU diperkenalkan

Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri tahun lalu. - Foto Penerangan

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia bercadang memperkenalkan Anugerah Tangan Emas Perdana bagi orang kurang upaya (OKU) yang berkemahiran bermula tahun depan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata sebelum ini Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri hanya diberikan kepada individu yang memenangi pertandingan kemahiran di luar negara tetapi bukan dalam kalangan OKU.

Katanya, anugerah berkenaan adalah pengiktirafan tertinggi dalam bidang kemahiran bagi mengiktiraf tenaga mahir yang cemerlang dalam bidang masing-masing.

“Secara dasarnya kita sudah bersetuju untuk melaksanakan anugerah berkenaan, namun akan membuat perbincangan lanjut kerana pertandingan kemahiran untuk OKU sedikit berbeza dengan pertandingan lain.

“Sebagai contoh Pertandingan Kemahiran Abilympics Antarabangsa (untuk OKU) diadakan empat tahun sekali manakala, Pertandingan Kemahiran Dunia pula diadakan setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia (MPKM) di sini, hari ini.

Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri adalah anugerah tertinggi dalam pertandingan kemahiran yang mula diperkenalkan pada 1991.

Mahfuz berkata pengiktirafan kepada OKU itu secara tidak langsung dapat mempromosikan latihan kemahiran kepada golongan berkenaan seterusnya mereka dapat membabitkan diri dalam bidang pekerjaan yang diminati.

“Ia juga dapat meningkatkan kebolehpasaran golongan OKU serta mengurangkan kadar pengangguran,” katanya.

Sementara itu, Mahfuz berkata pihaknya kini sedang giat melaksanakan pelbagai program untuk menyertai Pertandingan Kemahiran Dunia di Kazan, Russia bagi mencapai sasaran membawa pulang emas pertama dalam pertandingan berkenaan.

“Kita menyasarkan 20 pelajar dan 23 pakar yang menyertai pertandingan itu nanti akan membawa pingat emas. Atas sebab itu, kita sudah mempersiapkan dengan pelbagai program.

“Antaranya, memberi lebih latihan serta mendedahkan mereka dengan pertandingan peringkat antarabangsa seperti di Melbourne, Australia dan di China.

“Pendedahan itu dilihat dapat mengurangkan gugup peserta untuk menghadapi pertandingan di peringkat dunia yang akan berlangsung pada Ogos ini,” katanya. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *