GURUN – Program sumbangan 10 keluarga mangsa kejadian kepala air Yan di Kampung Baru Gurun di sini menutup lawatan kerja Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) selama dua hari di negeri ini.
Dalam program berkenaan pada 1 September, 10 keluarga tersebut masing masing menerima sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.
Pengarah YADIM Kedah, Ustaz Mohd Aizat Zakaria dan Ketua Kampung Kampung Baru Gurun, Ramly Mat Rejab hadir sama ke acara ringkas ini.
Ramly menyifatkan kejadian kepala air berkenaan antara bencana alam terburuk pernah terjadi sejak 30 tahun lalu. Katanya penduduk Kampung Baru Gurun amat terkesan kerana kediaman kebanyakan penduduk terletak berdekatan sungai.
Air sungai jelasnya, bukan sahaja melimpah, malah membawa pula serpihan kayu dan batu dari Gunung Jerai ketika kejadian. Penduduk juga tidak menyangka air akan naik begitu cepat menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan harta benda masing masing.
Dalam pada itun, Tuan Kamarul Arief dan Mohd Aizat turut membuat tinjauan ke Surau An-Nur, Kampung Baru Gurun yang turut terjejas teruk dalam kejadian bencana alam tersebut.
KOMEN