LUMUT 22 Ogos- Anggota pasukan keselamatan perlu berhati-hati dalam menuntut ilmu agama bagi mengelakkan diri mereka daripada terlibat dalam fahaman esktremisme seperti IS dan Daesh, kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Yusri Mohamad.
Beliau berkata, sebagai seorang anggota pasukan keselamatan, mereka sentiasa mempunyai semangat perjuangan yang tinggi tetapi ia perlulah disalurkan dengan cara yang betul seperti menentang musuh negara dan bukan berjuang di dalam perjuangan yang sia-sia.
“Dalam soal ini, saya berharap sentiasa anggota keselamatan perlu berhati-hati dalam menuntut ilmu agar tidak tersilap langkah dan terjerumus dengan ajaran-ajaran yang salah,’’ katanya ketika menyampaikan tazkirah kepada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia di sini pada Jumaat.
Tazkirah berkenaan adalah sebahagian daripada program Yadim dan KD Mahawangsa “Dakwah Merentasi Samudera” yang diadakan pada 17 hingga 18 Ogos 2016.
Dalam ucapan itu, beliau turut menekankan peri pentingnya setiap anggota tentera tanpa mengira pangkat dan kedudukan perlu sentiasa berusaha meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah kerana ia merupakan ciri penting kepada seseorang yang terlibat dalam perjuangan.
Katanya, sejarah telah membuktikan bahawa kemenangan Islam dalam peperangan pada zaman Rasulullah bukanlah berdasarkan faktor kekuatan ketenteraan seperti bilangan anggota yang ramai tetapi berasaskan kepada kekuatan keimanan setiap pejuangnya.
“Kemenangan tentera Islam dahulu bukanlah berdasarkan faktor kekuatan tentera itu secara fizikal tetapi berpunca daripada kukuhnya iman setiap anggota tentera kepada Allah SWT yang membolehkan mereka berjuang tanpa rasa gentar kepada musuh,’’ katanya.
Justeru, katanya, adalah penting bagi pihak kepimpinan tentera di negara ini memperbanyakkan program-program kerohanian agar ia mampu menjadi benteng kepada pasukan tentera negara ini dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
Dalam program dua hari itu, pelbagai pengisian telah dilaksanakan bermula dengan program yang dijalankan, antaranya termasuk latihan menembak, lawatan sekitar kapal, ceramah agama, solat berjemaah dan tazkirah Subuh.
Pada keesokan harinya, program disambung dengan Bicara Sakinah yang dihadiri oleh 500 anggota dan ahli keluarga bagi mendengar pengisian mengenai isu-isu kekeluargaan yang disampaikan oleh Pengerusi Majlis perundingan Wanita Islam malaysia (MPWIM), Prof Noor Aziah Awal dan pakar pengurusan kewangan, Hajah Rohani Dato Shahir.
Pada sebelah malamnya pula diadakan Forum Bicara Sakinah yang menampilkan dua penceramah terkenal iaitu Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak, Harith Fadzilah Abdul Halim dan penceramah bebas, Ustazah Zawiyah Hassan.
Program diakhiri dengan tazkirah Subuh yang disampaikan oleh Dr Yusri sendiri. Pada akhir tazkirah itu, beliau turut mengijazahkan Hizb Bahr iaitu himpunan zikir laut kepada anggota tentera yang hadir.
KOMEN