Home » Langit Terbuka » Anak Melayu pertama tempat pertama Anugerah ACCA

Anak Melayu pertama tempat pertama Anugerah ACCA

Wan Nur Mafudah bersama bapa dan ibunya di rumah mereka di Kampung Jawek, Jertih. Foto : Kosmo

BESUT – Anak kepada kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) Besut membuktikan minatnya dalam bidang perakaunan mampu meletakkan namanya sebagai pelajar terbaik dunia dalam kertas Laporan Kewangan Korporat Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).

Meskipun pernah dinasihatkan keluarga agar tidak memilih pengajian dalam bidang perakaunan,  namun Wan Nur Mafudah Wan Yusof, 21, berjaya membuktikan dirinya boleh pergi jauh dalam bidang tersebut.

Anak ketiga daripada tujuh beradik yang masih belajar di tahun ketiga Pusat Pendidikan Antarabangsa (INTEC) Shah Alam ini mendapat tempat pertama dalam World Prize Winner bagi ACCA yang diumumkan baru-baru ini.

Menurut Wan Nur Mafudah, beliau dinilai daripada semua pelajar yang menduduki kertas ACCA di IPT dunia dan dengan memperolehi markah 95 peratus menjadikan dia  pelajar yang memperolehi markah tertinggi dunia dalam peperiksaan itu baru-baru ini.

“Saya difahamkan sebelum ini kejayaan tertinggi yang dicapai pelajar Melayu adalah tempat kedua, ketiga dan keenam sejak tahun 2015 hingga tahun lepas,” katanya yang menerima anugerah yang disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh di INTEC.

Wan Nur Mafudah ditemui di rumah keluarganya di Kampung Jawek dekat Jertih di sini hari ini.

Katanya lagi, sebelum ini dia tidak menjangka dapat keputusan terbaik dalam mata pelajaran yang dinilai seluruh dunia itu.

Menurutnya, dia hanya berusaha menjawab soalan dengan sebaik mungkin dan berharap dapat keputusan cemerlang, namun terkejut apabila namanya diangkat berada di tempat terbaik dunia.

“Saya amat meminati mata pelajaran Matametik sejak sekolah rendah lagi termasuk bidang perakuanan dan kejayaan ini membuktikan anak Melayu boleh menguasai bidang ini dengan syarat belajar bersungguh-sungguh.

“Perakauan sebenarnya berbeza dengan Matematik kerana ia lebih kepada teori, bukan pengiraan dan tips yang banyak membantu saya berjaya ialah sentiasa berkongsi ilmu  dengan rakan sekuliah kerana dengan cara ini saya akan lebih faham dan ingat,” katanya.

Wan Nur Mafudah berkata lagi, kejayaannya juga dapat menghilangkan kerisauan keluarga terutama ibu bapanya.

“Selain itu, saya juga ingin menyahut cabaran menteri (Idris) yang mahu lebih ramai anak Melayu menceburi bidang tersebut kerana bilangan mereka masih kurang.

“Saya dulu belajar di SK Tok Raja dan Alhamdulillah ketika itu saya satu-satunya murid yang memperoleh keputusan UPSR 5A. Dengan keputusan itu, saya memohon melanjutkan pelajaran di MRSM Besut,” katanya.

Ujarnya lagi, selepas memperoleh keputusan SPM 8A1B, dia meneruskan pengajian di Kolej Poly-Tech Mara Kuala Lumpur bagi mengikuti asas bidang perakaunan selama setahun setengah sebelum memasuki INTEC.

Penerima biasiswa Permodalan Nasional Berhad (PNB) ini juga merancang untuk terus menimba pengalaman dengan bekerja sebagai akauntan di firma perakaunan terkemuka  terlebih dahulu sebelum mengejar cita-citanya sebagai pensyarah perakaunan.

Menurutnya, dia mahu membantu keluarganya terutamanya bapanya, Wan Yusof Wan Abdullah, 53, yang merupakan kakitangan biasa Jupem manakala ibunya, Zainab Zakaria, 56, hanya suri rumah.

“Saya mahu jadi contoh kepada adik-adik saya agar belajar bersungguh-sungguh dan meraih kejayaan.

“Selain itu, saya berharap subjek perdagangan, perakaunan dan ekonomi ditekankan secara serius kepada pelajar di peringkat awal menengah kerana ia asas dalam pelbagai pekerjaan seseorang khususnya sekiranya menceburi bidang perniagaan,” katanya. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *