AMIN Idris bukan nama asing dalam bidang pengacaraan tempatan. Menjadi antara pengacara prominent, figura ini berdiri satu aras sebaris nama-nama besar dalam bidang tersebut.
Tahun ini, pengelola program Tazkirah Malam Jumaat itu membuat kejutan apabila merancang untuk terjun ke dalam bidang nyanyian. Perancangan itu diumumkannya dalam satu sesi wawancara yang diadakan di pejabat Utusan Malaysia baru-baru ini.
Kata Amin, dia akan menyanyikan semula lagu Fikirkan Boleh bersama kumpulan nasyid, Al-Manna.
“Lagu itu akan disusun semula dan diberi nafas baharu. Insya-Allah, lagu itu akan diper dengarkan pada Mac depan.
“Jujur kata, saya berdebar mengenangkan maklum balas orang ramai nanti. Namun diharapkan single itu akan diterima baik semua,” katanya.
Bercerita tentang Tazkirah Malam Jumaat, Amin meluahkan rasa syukur kerana program itu dapat diteruskan untuk musim kedua. Katanya, dia dan seluruh tenaga produksi berharap dapat menarik lebih ramai penonton untuk menonton program tersebut.
“Sambutan musim pertama amat menggalakkan. Untuk musim kedua, matlamat kami besar, iaitu ingin menarik satu juta penonton menonton rancangan yang akan ditayangkan setiap malam Jumaat di saluran 106 (Astro Oasis) dan 135 (Maya HD).
“Kali ini, Tazkirah Malam Jumaat tampil berbeza apabila segmen parodi dipaparkan pada pengakhiran program.
“Pada masa yang sama, tajuk-tajuk bersifat semasa akan dipilih untuk dibincangkan. Lebih menarik, kami akan mengundang selebriti tempatan pada program ini nanti,” jelasnya.
Dalam pada itu, pengacara yang turut dikenali sebagai pakar motivasi ini berhasrat untuk mengendalikan program bual bicara sendiri satu masa nanti.
Kalau boleh midnight show yang boleh memberi inspirasi kepada orang untuk berubah. Dan kalau boleh, menjadi platform suara rakyat untuk rujukan kerajaan.
“Dengan program itu, saya mahu menjadi game changer dalam dunia politik tanpa menjadi ahli politik,” ujarnya. UTUSAN
KOMEN