SHAH ALAM 21 Jun – Pihak berkuasa perlu menggunakan peruntukan undang-undang dan enakmen syariah negeri yang sedia ada untuk mengambil tindakan sewajarnya demi mengawal penyebaran fahaman dan ajaran sesat.
Yang DiPertuan Agong Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (Pertama), Datuk As’ari Ibrahim berkata, ia bagi menyekat ancaman ke atas kesucian akidah dan agama Islam di negara ini.
“Kami melihat bahwa penyebaran fahaman-fahaman ini mancabar ketegasan badan penguatkuasa yang memelihara dan menjaga kemurnian akidah dalam masyarakat.
“Tindakan pihak berwajib amat perlu demi menjaga kemurnian akidah dan amalan umat islam. Tindakan perlu juga di ambil atas akhbar atau apa juga media yang menyebar dan mempromosi kesesatan ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melakukan siasatan dari pelbagai sudut berhubung penganjuran majlis berbuka puasa dalam kalangan pendukung gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang mula tular pada 10 Jun lalu.
Pegawai Perhubungan Awam Jawi, Nadia Zammil Md Nasir berkata, pihaknya sedang menyiasat sejauh mana kebenaran tular yang tersebar.
Pihaknya dalam masa sama turut menyeru mufti dan jabatan agama Islam untuk memfatwakan mana-mana kumpulan yang telah menyebarkan fahaman sesat lagi menyesatkan supaya fatwa yang diwartakan dapat diguna pakai dalam penguatkuasa dengan lebih mudah.
“Kami memuji, sebagai contoh langkah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mengeluarkan fatwa mengenai “Sister In Islam” dan menyeru jabatan-jabatan agama negeri yang lain untuk bertindak demikian atas mana-mana kumpulan yang menyebarkan fahaman atau ajaran liberalisma dan pluralisma,” katanya lagi. – www.sinarharian.com.my
KOMEN