Home » Langit Terbuka » Amaran tahap ‘kritikal’

Amaran tahap ‘kritikal’

Britain tidak tolak berlaku serangan baharu pengganas

MANCHESTER 24 Mei – Perdana Menteri Britain, Theresa May memberi amaran bahawa negara ini bakal berdepan lagi dengan serangan kumpulan pengganas dan mele­takkan tahap amaran keselamatan sebagai ‘kritikal’.

Sehubungan itu, beliau berkata, anggota tentera akan ditempatkan di lokasi-lokasi awam utama dengan dibantu oleh pasukan polis bersenjata bagi melindungi orang awam.

Menurut May, anggota tentera juga akan ditempatkan di beberapa buah kawasan termasuk Istana Buckingham, Istana Westminster, Downing Street, bangunan kedutaan dan serta lokasi konsert hiburan melalui arahan pegawai polis.

Beliau, bagaimanapun meminta orang awam tidak merasa ‘terlalu bimbang’ dengan kehadiran bilangan anggota keselamatan yang ramai kerana langkah berkenaan disifatkan sebagai ‘wajar dan seimbang’.

“Kita tidak boleh menolak kemungkinan terdapat lebih ramai individu yang mempunyai kaitan dengan serangan ini,’’ katanya di pejabatnya di Downing Street.

Setakat ini, dilaporkan empat orang telah ditahan berhubung kejadian pengeboman itu.

Menurut May, penempatan anggota tentera itu dilaksanakan melalui Operasi Temperer yang diwujudkan selepas serangan pengganas di Paris pada bulan November 2015.

“Ini bermakna anggo­ta polis bersenjata yang ditugaskan mengawal kawasan penting akan digantikan dengan anggota tentera bagi menambah bilangan anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan-kawasan lain,’’ katanya.

Tahap ‘kritikal’ yang diumumkan May merupakan tahap lima iaitu yang tertinggi dan hanya pernah berlaku sebanyak dua kali selain memberi maksud ‘serangan susulan akan berlaku tidak lama lagi’.

Kira-kira 3,800 anggota keselamatan akan berka­wal di jalan raya di negara ini ekoran serangan yang disifatkan paling dahsyat sejak sedekad lalu.

Menteri Dalam Negara Britain, Amber Rudd berkata, pihaknya percaya serangan tersebut dilakukan lebih daripada seorang.

“Serangan ini lebih canggih berbanding serangan sebelum ini dan kemungkinan suspek (Salman Abedi) tidak bertindak sendiri,” katanya selain mengesahkan suspek baharu pulang dari Libya.

“Perkara ini telah disahkan dan kami akan melihat latar belakangnya, apa yang berlaku dan bagaimana dia menjadi radikal serta sokongan yang diperoleh,’’ katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perkhidmatan Penjagaan Sosial dan Kesihatan, Jon Rouse berkata, pihaknya kini sedang merawat 64 mangsa dan 20 daripadanya masih kritikal.

“Mereka mengalami kecederaan teruk pada beberapa anggota badan dan ada antaranya memerlukan rawatan dan sokongan dalam tempoh yang panjang,’’ katanya.

Seramai 22 orang terkorban dalam kejadian itu dengan mangsa paling muda berusia lapan tahun.

Pembantu Pesuruhjaya Polis, Mark Rowley yang menge­tuai unit menangani keganasan memaklumkan, siasatan kes tersebut ‘berjalan lancar dengan perkembangan yang baik’ tetapi masih belum diketahui sama ada Salman bertindak sendirian atau bersama-sama kumpulan tertentu. – Agensi

  • https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *