KUALA LUMPUR: Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan memberi tumpuan kepada usaha untuk memastikan pembangunan mampan dan menangani isu yang dihadapi oleh kumpulan terpinggir, bertepatan dengan tema “Keterangkuman dan Kelestarian”.
Dalam Amanat Tahun Baharu 2025, Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara berhasrat menegakkan prinsip ke arah kecemerlangan dan perpaduan serta membasmi rasuah, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai sebuah negara yang berdaulat, merdeka dan bertanggungjawab.
Tegasnya, ini termasuk menangani isu-isu utama seperti pembunuhan beramai-ramai, ketidakadilan, penindasan, dan penjajahan di Gaza, bagi membina lembaran baharu dalam agenda serantau dan global.
“Kita harus bersama menjunjung prinsip striving for excellence, maknanya berusaha mencari jalan dan kaedah supaya mencatat kecemerlangan, mengukuh perpaduan di dalam negara kita dahulu.
“Ini kerana, sebelum kita melangkau ke rantau dan ke pasaran antarabangsa negara harus teratur dengan baik, tatakelola mesti dimantapkan, ketirisan dan rasuah mesti dibanteras, barulah kita akan perolehi penghormatan sebagai satu negara yang berdaulat, merdeka, dan bertanggungjawab.
“Inilah penghormatan yang besar untuk negara dan peluang untuk membina lembaran baru dalam agenda serantau dan global yang terus mencabar selagi beberapa isu pokok seperti pembantaian, kezaliman, penindasan, penjajahan di Gaza dan beberapa kawasan yang mencabar selainnya,” katanya dalam ucapan yang disiarkan pada Selasa.
Jelasnya, Kerangka Ekonomi Madani yang dilancarkan pada 27 Julai 2023, membawa hala tuju jelas dalam membentuk semula Malaysia sebagai peneraju ekonomi rantau Asia, mendahului kepimpinan dan generasi akan datang untuk melaksanakan sistem ekonomi yang berperikemanusiaan.
Kerajaan, tambahnya, berjaya melaksanakan beberapa anjakan baharu tahun ini, bertujuan untuk memberi manfaat kepada golongan terbesar rakyat, walaupun ia mungkin keputusan atau langkah tidak popular.
“Apa yang lebih mendesak dan mustahak adalah kerangka Ekonomi Madani yang memberi petunjuk kepada kepimpinan dan generasi penerus untuk melaksanakan sistem ekonomi yang berteraskan prinsip manusiawi dengan ihsan, dengan rahmah, agar keadilan dapat ditegakkan bagi setiap insan warga Malaysia.
“Saya turut memahami bahawa tidak semua keputusan dan kebijakan kerajaan itu popular atau lekas membuahkan hasil.
“Namun, semua ini dilaksanakan dengan tekad politik yang jelas, dengan niat ikhlas serta penilaian yang teliti untuk memastikan dasar-dasar tersebut ini memberi manfaat kepada rakyat terbanyak,”ujarnya. – Awani.
KOMEN