PETALING JAYA – Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk, wajar menjadi contoh kepada dunia dalam mempraktikkan amalan toleransi.
Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL), Syeikh Dr Muhammad Abdul Karim Al-Issa, berkata Malaysia sememangnya terkenal sebagai negara yang mengamal toleransi antara pelbagai kaum dalam negara.
“Malaysia wajar jadi contoh kepada dunia, amalan toleransi wujud dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya di negara ini.
“Malah, kesefahaman diwujudkan Malaysia dalam kalangan rakyat dipuji termasuk mengetengahkan peranan wanita dalam pentadbiran negara,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 dekat sini, pada 30 Julai.
Perasmian persidangan julung kali diadakan itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakogb.
Disertai 44 penceramah dari 17 negara, persidangan antara lain berusaha mencari kesedaran dan cara pendidikan bagi menghadapi ideologi ekstremis dan menggantikan perbezaan antara masyarakat pelbagai politik kepada kerjasama dan perpaduan, merangka program praktikal, inisiatif dan cadangan bagi memastikan kemampanan serta keberkesanan mesej persidangan.
Syeikh Dr Muhammad berkata, persidangan diadakan menjadi satu sejarah buat dunia dan Malaysia khususnya apabila ibu negara Kuala Lumpur menjadi lokasi satu pertemuan yang sangat penting.
“Saya lahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri atas persetujuan, usaha dan dedikasi untuk menganjurkan persidangan yang julung kali diadakan ini.
“Juga persetujuan Perdana Menteri untuk mewujudkan Majlis Ulama Asia Tenggara yang mana Kuala Lumpur akan menjadi pusat urusetia majlis itu,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, persidangan diadakan mencapai beberapa matlamat penting iaitu memperhalusi visi bertamadun yang akan menggariskan nilai kesederhanaan dalam masyarakat.
“Menyumbang kepada mempertingkat persaudaraan dan kerjasama di antara negara dan rakyat serta berusaha untuk menyebarkan kesedaran mengenai konsep perpaduan, keamanan dan keharmonian dalam kalangan pemimpin, pemikir dan pempengaruh dalam masyarakat,” katanya.
KOMEN