Home » Panduan Ibadah » Amalan sunat bulan Ramadan, jom amalkan!

Amalan sunat bulan Ramadan, jom amalkan!

7 April 2013

Bulan Ramadan hadir kembali dengan kaifiatnya yang berganda-ganda bagi sesiapa yang mahukan markah penuh pada Aidilfitri kelak.
Sebenarnya, setiap hari kita memang digalakkan memperbanyakkan amalan untuk meningkatkan takwa kita. Namun, oleh kerana Allah telah menjanjikan pahala yang maksima pada bulan al-Mubarak ini, memang sangat eloklah kita menggandakan amalan yang dahulunya masih sedikit tapi diperbanyakkan lagi pada bulan ini bagi memperoleh kecintaan Allah s.w.t.

Beberapa amalan yang dituntut ialah :

1. Bersahur dan melambatkannya
Daripada Anas r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bersahurlah kamu sekalian kerana sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat barakah.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari Zaid bin Tsabit r.a. berkata: “Kami sahur bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w., kemudian kami melaksanakan solat.” Ada seseorang bertanya: “Berapa lama antara sahur dengan solat itu?” Ia menjawab: “Kira-kira 50 ayat.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari ‘Amr bin ‘Ash r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kelebihan puasa kami dan puasa ahli Kitab adalah adanya makan sahur.” (HR Muslim)

2. Segera berbuka puasa apabila sudah masuk waktu berbuka
Dari Sahl bin Sa’d r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa.” (HR Bukhari & Muslim)

3. Berdoa sepanjang berpuasa dan ketika berbuka
Diriwayatkan oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ada 3 golongan yang tidak ditolak doa mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.”

4. Memperbanyakkan sedekah
Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah s.a.w. lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.” (HR Bukhari)

5. Memperbanyakkan bacaan dan mendalami isi al-Quran
Mengkhatamkan al-Quran bukan perkara wajib yang harus dilakukan oleh orang Islam. Namun tidak salah untuk kita berusaha mengkhatamkan al-Quran pada bulan Ramadan dengan niat mahu mendalami dan menghayati isi al-Quran. Bukan semata-mata mahu mengejar matlamat khatam al-Quran.

Antara cara yang boleh dipratikkan, 1 juzuk al-Quran mengandungi 20 muka surat. Untuk itu, kita boleh membaca 4 muka surat al-Quran setiap kali selepas solat fardhu. Sekiranya kita istiqamah dari Subuh hingga Isyak, insya Allah kita boleh mengkhatamkan 1 juzuk untuk satu hari.

6. Memberi makan kepada orang yang berbuka puasa
Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.” (HR At Turmudzy)

7. Mengimarahkan malam dengan solat Tarawih dan qiamulail
Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Barangsiapa yang mengerjakan solat sunat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari Allah, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim)

Solat tarawih hanya terdapat dalam bulan Ramadan. Seharusnya kita merebut peluang ini dengan bersolat tarawih. Di samping beribadah dalam bentuk fizikal iaitu solat, kita juga melakukan ibadah dengan menjalinkan silaturahim dengan ahli kariah masjid.

Bagi amalan qiamulail pula, kita boleh mengerjakan solat sunat tahajjud, solat sunat hajat, solat sunat taubat, berzikir, membaca al-Quran dan muhasabah diri.

8. Amar makruf nahi mungkar
Kebejatan penggunaan laman sosial seperti facebook, twitter, instagram, whatsapp boleh kita manfaatkan dengan amar makruf nahi mungkar. Kita boleh memberikan nasihat dan perkongsian ilmu yang sahih.

Sekarang kita lihat ramai yang suka berkongsi nasihat ke arah kebaikan di laman sosial masing-masing. Itu merupakan satu amalan yang terpuji namun sumber dan kandungan perkongsian itu harus diselidiki terlebih dahulu supaya kita tidak tersalah memberi ilmu.

Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak dan selamat beramal.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *