PUTRAJAYA – Amalan ‘Garpu Tala’ atau istikharah al-Quran adalah satu perbuatan yang memperkelehkan kitab suci itu dan bercanggah dengan disiplin ilmu Islam sendiri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Nasruddin Hasan berkata, al-Quran adalah kitab suci yang sangat tinggi kedudukannya, bukan saja di sisi Islam tetapi juga pada nilai ilmu itu sendiri.
Katanya, walaupun al-Quran adalah satu petunjuk, kitab suci itu bukan sebuah buku penglipur lara atau karya-karya dongeng yang dibolehkan untuk memahami atau mengambil hukum dan petunjuk serta bimbingan darinya secara lempar buah dadu yang mana jika terkena mana-mana ayat ia dijadikan panduan.
“Ia bukan permainan saidina dengan buah dadunya atau papan dam ular. Ia adalah kitab yang perlu diambil hukum dalilnya, petunjuk iktibarnya dengan kaedah dan disiplin ilmu sebab kaedah penafsiran al-Quran ada pelbagai antaranya ditafsir oleh nabi melalui hadis untuk menjelaskan kepada umat manusia,” katanya di sini semalam.
Baru-baru ini tular di media sosial tentang amalan Garpu Tala yang melakukan kaedah buka al-Quran secara rawak untuk mencari jawapan kepada masalah seseorang yang didakwa adalah satu saranan Allah.
Difahamkan, ada antara pengikutnya itu dalam kalangan selebriti popular tanah air dan penceramah motivasi terkenal yang mengikuti ajaran daripada pendakwah dari Indonesia.
Nasrudin berkata, perbuatan itu juga sangat bercanggah dengan mukjizat al-Quran kerana nabi sendiri pun mengajar para sahabat untuk menyelesaikan isu kehidupan mereka dengan mentafsirkan ayat al-Quran seluruhnya, bukan memilih ayat secara rawak..
Sebagai contoh, katanya, jika seseorang ingin mendapat petunjuk keperluan menutup aurat, dia tidak perlu memejam mata dan buka al-Quran dengan menggunakan kaedah feel dahulu lalu tunjuk ayat mana.
Ini kerana kata beliau, dalam al-Quran sudah terkandung ayat berkenaan kewajiban menutup aurat, jika tidak tahu untuk mentafsirkannya boleh dirujuk alim ulama tafsir yang boleh menunjukkan bagaimana penyelesaian al-Quran dan perbahasan dalam perkara dihadapi umat Islam melalui bimbingan al-Quran.
“Al-Quran tidak boleh sekadar main pilih ayat mana untuk dijadikan penyelesaian, bukan cara selekehkan agama kerana agama dipelihara dengan disiplin ilmu, sekiranya tiada jaminan pemeliharaan ketulenan, maka kemuliaan dan kesuciaan Islam akan tergugat apabila menggunakan kaedah rawak begitu.
“Jadi kita serah kepada pihak berkuasa agama untuk mengambil penelitian dan pengkajian atau mungkin ada fatwa berkaitan isu ini untuk menghilangkan kekeliruan umat Islam,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai isu sama, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) berkata, kaedah istikharah al-Quran itu tiada dalam syarak dan tidak dipetik daripada mana-mana imam atau ulama dan umat Islam dilarang mengamalkan kaedah tersebut.
Katanya, terdapat dalam kalangan individu yang beristikharah dengan cara mengambil al-Quran lalu membukanya secara tanpa dirancang, kemudian dia melihat baris pertama di halaman pertama yang dibuka.
“Terdapat juga sebahagian daripada mereka mengira halaman ketujuh, kemudian baris ketujuh, diikuti perkataan ketujuh dan kemudian membacanya. Jika terdapat ayat yang memerintahkan untuk melakukan sesuatu perbuatan, maka dia akan melakukan perbuatan tersebut.
“Jika terdapat ayat yang melarang melakukan sesuatu perbuatan, maka dia akan meninggalkannya. Kaedah istikharah ini tiada dalam syarak dan tidak dipetik daripada mana-mana imam atau ulama,” katanya seperti dipetik dalam Facebook jabatan itu. -UTUSAN ONLINE
KOMEN