KUALA LUMPUR – Lelaki yang mencetuskan kontroversi kerana menghina Nabi Muhammad dan melakukan provokasi berbaur perkauman mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari atas lapan pertuduhan yang dilakukan pada Februari dan Mac lalu.
Penjaja makanan, Alvin Chow atau Chow Mun Fai, 43, yang sebelum ini mengaku tidak salah atas pertuduhan sama menukar pengakuannya itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Hakim M. M. Edwin Paramjothy.
Hakim bagaimanapun tidak menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh hari ini bagi memberi peluang kepada pembelaan untuk membalas hujah pemberatan. Mahkamah menetapkan 3 Julai ini sebagai tarikh untuk mendengar hujahan itu.
Mengikut pertuduhan pertama, Mun Fai didakwa menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun profil ‘Alvin@Alvin15358333’, membuat kenyataan yang mungkin mengapikan kaum Melayu dengan bukan Melayu, kira-kira pukul 8.07 pagi, 13 Februari lalu.
Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mun Fai juga didakwa atas tiga pertuduhan memuat naik hantaran yang mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni di antara penganut Islam dan bukan Islam di laman media sosial yang sama pada jam 2.29 petang dan 7.06 petang, 2 Mac dan 13 Mac lepas.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, jika disabitkan kesalahan.
Lelaki itu turut didakwa atas empat pertuduhan menghantar komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati melalui aplikasi, tarikh dan waktu yang sama.
Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md. Kamal dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama. – Utusan Malaysia
KOMEN