Kecanggihan teknologi yang ada pada ketika ini membolehkan maklumat disampaikan dengan pantas terutamanya melalui aplikasi telefon mudah alih dan juga media-media sosial.
Tetapi awas, kecanggihan itu sebenarnya boleh menjadi penyebab umat Islam itu disoal di akhirat kelak jika apa yang disampaikan atau disebarkan bersifat fitnah dan boleh mengaibkan.
Oleh itu, Islam menganjurkan mereka yang telah melakukan kesalahan untuk kembali kepada Allah tanpa membuka dan menceritakan segala keaibannya.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Setiap umatku dimaafkan (dosanya) kecuali mereka-mereka yang menunjuk-nunjuknya dan sesungguhnya di antara menunjuk-nunjukkan (dosa) adalah seorang hamba yang melakukan suatu perbuatan di waktu malam.
“Sementara Allah telah menutupinya kemudian di waktu pagi dia berkata: “Wahai fulan semalam aku telah melakukan ini dan itu, pada hal pada malam harinya (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya. Ia pun bermalam dalam keadaan (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya dan di pagi harinya ia menyingkap apa yang telah ditutupi oleh Allah” – (Bukhori : 5608).
Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa orang yang melakukan perbuatan maksiat secara sembunyi-sembunyi contohnya di waktu malam, kemudian Allah menutup aibaya atau seseorang yang melakukan maksiat di rumahnya sendiri kemudian Allah menutup aibnya sehingga manusia lain tidak dapat melihatnya sehingga seandainya ia bertaubat kepada Allah maka jelas hal itu akan baik baginya.
Namun ketika ia menemui hari berikutnya dan bertemu dengan orang lain dia mengatakan: “Aku telah melakukan perbuatan maksiat ini dan itu”, maka orang yang demikian ini termasuk orang yang tidak akan dimaafkan Allah dosa-dosanya.
Orang ini termasuk Al Mujaahirin padahal sebelumnya telah Allah tutup aibnya.
Buka Aib
Sejak akhir-akhir ini, kita dapat lihat fenomena membuka keaiban sama ada diri sendiri ataupun keaiban orang lain secara terang-terangan sudah menjadi barah dalam masyarakat kita.
Tanpa ada perasaan bersalah atau malu dengan apa yang mereka lakukan, aib itu diuar-uarkan kepada umum.
Dalam sebuah hadis yang meminta supaya kita menutup keaiban sendiri ataupun orang lain. Sabda Baginda Rasulullah bermaksud: “Wahai sekalian manusia yang beriman dengan lidahnya, (namun) belum masuk iman ke dalam hatinya.
“Janganlah engkau sekalian mengumpat orang-orang Islam dan jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya.
“Dan siapa yang aibnya dibuka Allah, maka Dia akan membukanya sekalipun di dalam rumahnya”. – (Tarmizi : 1955).
Aib saudara seagama adalah perkara yang tidak boleh dibuka atau disebarkan kepada orang lain sewenang-wenangnya.
Umat Islam juga dilarang membuka aib pihak lain walaupun dianggap sebagai musuh dan tidak disukainya.
Dalam politik contohnya, perbuatan memburuk-buruk dan menyebar aib individu daripada parti yang berbeza ideologi dilihat semakin menjadi-jadi.
Hari ini orang menggunakan Internet sebagai saluran untuk membuat fitnah, adu domba, serangan peribadi dan membuka aib lawannya.
Ini merupakan perkara yang ditegah dan dilarang dalam Islam melainkan kita menggunakan saluran yang betul seperti mana kata Imam Nawawi dalam menceritakan perilaku seseorang dibenarkan seperti berikut:
1. Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim.
2. Membantu dalam menentang perkara yang mungkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar dengan saluran yang betul.
3. Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.
4. Mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka seperti mereka mengambil ilmu daripada bukan ahlinya.
5. Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan tanpa segan silu di hadapan orang ramai dan bukan dibuat secara sembunyi-sembunyi.
6. Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya. Tetapi, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina.
Perbuatan menyebarkan aib orang lain berlaku dalam pelbagai bentuk.
Ada yang suka menjaja kisah keruntuhan rumah tangga orang, merakam video kelakuan seksual, menyebar poster atau gambar mengaibkan dan ada yang mengejek bentuk fizikal seseorang sehinggakan membuka aib isteri atau suami juga dilarang dalam Islam.
Maka kepada mereka yang melakukan perbuatan terkutuk ini dengan menyebarkan aib orang lain seharusnya ia memikirkan keadaannya pada hari kiamat kelak kerana pada hari itu Allah akan bertanyakan mengenai diri mereka dan bukan orang lain.
Sebab itu pada hari kiamat nanti manusia akan mengatakan (nafsi nafsi) iaitu diriku diriku disebabkan di atas muka bumi mereka sibuk dengan keaiban orang lain sehingga mereka lupa akan keaiban diri mereka sendiri.
“Jom Jadi Orang Baik-baik”
Ikhlas dari :
DR. NUR MOHAMMAD HADI (HADI AL-MAGHRIBI)
Panel Pemikir Nadwah Ulama dan Ilmuwan Malaysia (NUIM-YADIM)
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
BA (Pengajian Islam) Universiti Ibn Tofail, Morocco Pengkhususan Maqasid Syariah
MA (syariah) Universiti Ibn Tofail, Morocco Pengkhususan Maqasid syariah
Phd (Syariah) Universiti Qadi Ayya, Morocco Pengkhususan Maqasid Syariah
NUIM PENERAJU PEMIKIRAN RAHMAH
#fastabiqulkhairat
#NUIM-YADIM
#rahmatanlilalamin
KOMEN