Home » Langit Terbuka » Aliran masuk bersih dana asing meningkat, pelabur mula yakin saham Malaysia

Aliran masuk bersih dana asing meningkat, pelabur mula yakin saham Malaysia

Institusi dana asing muncul pembeli bersih dengan mencatat RM293 juta, berbanding RM417 juta pada minggu sebelum ini. - Foto TheMalaysianReserve

KUALA LUMPUR – Aliran masuk bersih dana asing ke dalam negara mencecah RM479.6 juta setakat 24 Januari lepas, sekali gus mengatasi jumlah aliran minggu lepas sebanyak RM471.3 juta.

Menurut pakar ekonomi, institusi dana asing muncul pembeli bersih dengan mencatat RM293 juta, berbanding RM417 juta pada minggu sebelum ini.

Perkembangan positif itu menunjukkan saham Malaysia mencatat nilai lebih baik di tengah-tengah jangkaan kenaikan kadar faedah yang semakin reda di Amerika Syarikat (AS), kata Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

“Minggu ini dimulakan dengan nada lebih suram. Ini berikutan kehadiran faktor seperti (data) ekonomi China bagi suku keempat 2018 yang kurang memberangsangkan, semakan semula unjuran pertumbuhan global oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), impak berterusan rundingan perdagangan antara Washington-Beijing serta kesan Brexit di United Kingdom yang menyebabkan ketidaktentuan di pasaran,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, pada masa ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak sekitar paras rintangan pada 1,700 mata walaupun terbukti cuba melepasi tahap itu, khususnya pada awal minggu ini.

“Bagi minggu depan, kami menjangkakan pasaran kekal suram berikutan perkembangan isu Brexit, rundingan dagangan Amerika Syarikat-China serta mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS pada 30 Januari yang akan dipantau secara teliti oleh pasaran,” katanya.

Ketua Penyelidikan Inter Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata, pasaran negara sedang pesat membangun menyaksikan kemunculan semula minat pelabur antarabangsa selepas Rizab Persekutuan AS memutuskan untuk memperlahankan kenaikan kadar faedah manakala kesan Brexit yang tidak menentu itu terbukti memberi manfaat kepada kawasan lain.

Menurutnya, aliran dana ke dalam pasaran ekuiti Malaysia minggu ini juga berbeza apabila minat lebih ketara terhadap sahan bermodal kecil dan sederhana, berbanding saham mewah dan berkaitan indeks di pasaran negara lain rantau ini.

“Apa yang menghairankan, FBM KLCI mendapat kurang manfaat daripada pasaran serantau lain, namun aliran masuk (dana) itu kekal menggalakkan dan mendorong peningkatan kaunter bermodal kecil dan sederhana,” katanya.

Malah, katanya, ketidaktentuan mengenai Brexit turut menyebabkan pelabur bertindak beralih ke pasaran negara sedang pesat membangun.

Seorang lagi penganalisis, pensyarah kanan dan pengurus pembangunan perniagaan Fakulti Perniagaan Universiti Putra Malaysia, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff turut sependapat dengan Mohd Afzanizam dan Pong mengenai momentum Bursa Malaysia yang agak suram berikutan pendirian pelabur yang masih menunggu hasil rundingan perdagangan AS-China pada akhir bulan ini.

“Harga minyak mentah kekal stabil sekitar AS$60 setong, manakala ringgit terus rendah kepada RM4.14 yang dapat membantu meningkatkan eksport.

“Malah, keputusan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.25% turut membantu meredakan sentimen tidak menentu di pasaran,” kata Ahmed Razman. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *