Home » Langit Terbuka » Ali XPDC minta nasihat ustaz sebelum kembali menyanyi

Ali XPDC minta nasihat ustaz sebelum kembali menyanyi

Ali berkata, selepas sembilan tahun tidak menghasilkan album, XPDC kini kembali bersama Doa yang mengetengahkan lagu berunsur nasihat

KUALA LUMPUR – Kembali bersama XPDC sejak empat tahun lalu, vokalis kumpulan itu, Ali atau nama sebenarnya, Mohd Ali Ismail, 49, mengakui hatinya pernah berbelah bahagi untuk aktif semula.

“Umum tahu saya sudah tidak bersama XPDC, malah secara jujur, hati saya berat untuk kembali bersama kumpulan ini.

“Saya sempat meminta nasihat dan pandangan ustaz mengenai perkara ini. Apabila dimaklumkan, saya boleh memanfaatkan platform seni untuk menyalurkan dakwah, akhirnya hati saya terbuka menerima tawaran ini.

“Itu yang sedang saya lakukan sekarang, menyampaikan nasihat menerusi lagu,” katanya.

Ali berkata, selepas sembilan tahun tidak menghasilkan album, XPDC kini kembali bersama Doa yang mengetengahkan lagu berunsur nasihat.

XPDC bagaimanapun, masih mengekalkan genre heavy metal yang serasi dengan jiwa mereka, cuma lirik lagu yang disampaikan membawa pendekatan yang berbeza.

“Doa masih mengekalkan identiti XPDC seperti yang dikenali peminat, begitu juga dengan konsep muzik yang tetap sama seperti album terdahulu.

“Cuma, lagu yang ditampilkan membawa mesej tersendiri, bukan lagi menyajikan hiburan kosong. Ia banyak menyentuh mengenai kehidupan dan manfaat berbuat baik sesama insan,” katanya.

XPDC yang mula aktif pada 1989 kali terakhir muncul dengan album Rasopariso pada 2009.

Tambah Ali, album yang memuatkan 11 lagu itu juga adalah produksi paling mahal pernah diterbitkan dan mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan.

“Semuanya demi peminat yang sudah hampir sedekad menantikan album baharu XPDC. Kami mahu mereka puas hati apabila membeli album yang bakal menjengah pasaran akhir bulan ini,” katanya.

Selain Ali, XPDC turut dianggotai Izo selaku pemain gitar, Lola (dram) dan Eddie (bass). Untuk Doa, mereka turut menggunakan khidmat pemain gitar, Ariff yang juga anak kedua Izo. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *