Home » Langit Terbuka » Al Jazeera kutuk tentera Israel bunuh wartawan

Al Jazeera kutuk tentera Israel bunuh wartawan

Rakyat Palestin mengusung jenazah Shireen Abu Akleh, seorang wartawan rangkaian Al Jazeera, ke dalam bilik mayat di dalam Hospital di bandar Jenin, Tebing Barat, Rabu, 11 Mei 2022. - Foto Majdi Mohammed
DOHA – Rangkaian media Al Jazeera mengutuk pembunuhan pewartanya Shireen Abu Akleh, apabila tentera penceroboh Israel melepaskan tembakan ke arahnya pada pagi Rabu ketika beliau membuat liputan mengenai serbuan tentera Israel di bandar Jenin di wilayah penempatan di Tebing Barat.
Dalam satu kenyataan, Al Jazeera berkata, “Dalam insiden pembunuhan terang-terangan, yang melanggar undang-undang dan norma antarabangsa, pasukan penceroboh Israel membunuh wartawan Al Jazeera di Palestin, Shireen Abu Akleh, menyasarkan tembakan ke arahnya awal pagi ini, Rabu, Mei 11, 2022, semasa beliau menjalankan tugas kewartawanannya, dengan memakai jaket media yang jelas menunjukkan beliau seorang wartawan, membuat liputan pasukan penceroboh Israel yang menyerbu kem pelarian Jenin di Tebing Barat”, lapor agensi berita Qatar (QNA).
Kenyataan itu menambah “Rangkaian Media Al Jazeera mengecam jenayah kejam itu, yang bertujuan menghalang media daripada menjalankan tugas mereka.
“Al Jazeera menggesa kerajaan Israel dan pasukan pencerobohnya bertanggungjawab atas pembunuhan Shireen. Ia juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengutuk dan memaksa tentera penceroboh Israel bertanggungjawab atas pembunuhan Shireen,” tambahnya.
Pihak berkuasa Israel juga bertanggungjawab menyasarkan penerbit Al Jazeera Ali al-Samudi, yang turut ditembak di belakang ketika membuat liputan insiden yang sama, dan kini sedang menjalani rawatan, menurut kenyataan itu.
Shireen, 51, berasal dari Bethlehem, tetapi dibesarkan di Baitulmaqdis, menurut QNA.
Beliau pada mulanya belajar seni bina di Universiti Sains dan Teknologi Jordan, kemudian bertukar ke bidang kewartawanan dan memperoleh ijazah sarjana muda dari Universiti Yarmouk di Jordan. Selepas menamatkan pengajian, Shireen kembali ke Palestin dan bekerja di beberapa stesen seperti UNRWA, Radio Suara Palestin, Saluran Satelit Amman, Yayasan Miftah, dan Radio Monte Carlo.
Pada 1997, beliau menyertai saluran satelit Al Jazeera dan bertugas dengannya sehingga hari ini.- BERNAMA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *