Home » Langit Terbuka » Akta Pembaziran Makanan perlu diwujud

Akta Pembaziran Makanan perlu diwujud

Pembaziran makanan setiap kali majlis diadakan perlu dibendung. (Gambar hiasan)

KUALA LUMPUR 18 Jun – Akta Pembaziran Makanan perlu di­wujudkan di negara ini bagi me­ngatasi budaya pembaziran dalam kalangan rakyat di negara ini terutamanya yang dilihat banyak berlaku sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, isu pembaziran makanan dalam negara tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan pembaziran bahan utama yang me­nyumbang tenaga­ kepada semua manusia dalam dunia dan dalam masa sama akan memberi implikasi negatif terhadap tamadun peradaban manusia.

“Akta ini perlu diperkenalkan segera dan pelbagai jenis tindakan undang-undang berbentuk penalti boleh diwujudkan untuk diambil terhadap individu atau organisasi yang melakukan atau terlibat dalam aktiviti pembaziran tanpa me­ngira waktu dalam negara ini.

“Pada masa sama, kerajaan boleh mencontohi langkah kerajaan Perancis yang membuat peruntukan khas undang-undang yang melarang pasar raya dalam negara mereka untuk membuang makanan lebihan yang tidak dijual, selain memberikan makanan lebihan terbabit kepada persatuan-persatuan pengguna di negara berkenaan untuk disalurkan kepada golongan memerlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye yang menyatakan terdapat keperluan terdesak untuk kerajaan menganjurkan pelbagai program kesedaran bagi membendung masalah pembaziran makanan yang semakin membimbangkan, lebih-lebih lagi bulan Ramadan dan Syawal setiap tahun.

Lam Thye berkata demikian selepas memetik kenyataan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang mendakwa sebanyak kira-­kira 615,000 tan metrik sisa makanan dibuang sepanjang bulan Ramadan yang lalu.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula berpendapat, kesedaran dalam kalangan masyarakat perlu di­tingkatkan supaya budaya pembaziran ini dapat dihentikan.

Menurut beliau, program pendidikan dan penguatkuasaan yang berkesan harus dijalankan supaya masyarakat mengambil serius masalah yang semakin membimbangkan ini.

“Perubahan perlu bermula dari dalam diri terlebih dahulu, masyarakat harus sedar bahawa makan secara berlebihan itu membahayakan kesihatan dan budaya membazir ini mesti dihentikan,” katanya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *