Home » Langit Terbuka » Akidah benteng serangan pornografi

Akidah benteng serangan pornografi

HAFIDZAH MUSTAKIM (empat dari kanan) dan Norhani Abd. Rani (lima dari kanan) bersama peserta selepas majlis pelancaran kempen Malaysia Menentang Pornografi (MAP) peringkat negeri di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

KOTA BHARU 8 Feb. – Ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan pegangan akidah, ibadah dan akhlak yang kukuh supaya menjadi benteng daripada terjebak dengan pengaruh pornografi.

Timbalan Ketua Wanita Pertubuhan Ikram (Ikram) Pusat, Dr. Hafidzah Mustakim berkata, ancaman pornografi sukar di­sekat kerana segala akses maklumat masa kini berada di hujung jari apatah lagi ia merupakan satu industri yang membawa pula­ngan besar.

Justeru, katanya, peranan institusi keluarga membekalkan anak-anak dengan asas agama yang kukuh adalah senjata pa­ling utama untuk berhadapan sera­ngan bahan lucah yang mengganas melalui ledakan teknologi internet dan gajet pintar.

“Pornografi bukan perkara baharu tetapi pada masa dahulu orang mencari bahan atau gambar yang merangsang keinginan seks secara sembunyi tetapi kini bahan lucah amat senang didapati dan ia menjadi ketagihan atau ‘dadah’ milenium baharu.

“Majoriti anak-anak terdedah dengan bahan lucah secara tidak sengaja contohnya apabila visual pornografi muncul secara pop-up di permainan yang mereka layari, sehingga mendatangkan kesukaan mereka mencarinya sendiri dan sampai satu tahap mereka membeli bahan lucah kerana sudah ketagih.

“Kita amat mengharapkan ibu bapa menanamkan pada anak-anak bahawa Allah sentiasa memerhati mereka seumpama kamera litar tertutup (CCTV) yang memerhati segala perbuatan mereka 24 jam,” katanya dalam majlis pelancaran kempen Malaysia Menentang Pornografi (MAP) peringkat negeri, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Wanita Ikram negeri, Dr. Norhani Abd. Rani berkata, kempen MAP adalah kesinambungan daripada gerakan Mawar Putih pada 2013 dan Ibu Menentang Pornografi pada 2015 yang bertujuan membanteras pornografi di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, ketagihan pornografi di internet bukan sekadar mengancam individu dewasa tetapi juga kanak-kanak, malah laporan Jabatan Pe­nyiasatan Seksual Bukit Aman me­nyatakan Malaysia adalah negara yang mempunyai kadar jenayah pornografi yang tinggi membabitkan kanak-kanak.

“Kita sedar ancaman ini bukan berada di bandar besar se­perti Kuala Lumpur sahaja tetapi juga di kampung termasuk ne­geri ini melalui kemudahan internet tanpa sempadan.

“Sepanjang tahun lalu hingga awal tahun ini, pihak kami menjalankan hampir 30 program, ceramah dan pameran kesedaran terutama di sekolah bagi membantu guru dan ibu bapa membanteras pornografi,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak sama ada sekolah, masjid atau institusi yang memerlukan khidmat penerangan dan bengkel MAP boleh menghubungi talian 017-425 2929 (Dr. Fatimah Az Zahra Dinsuhaimi). – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *