Home » Langit Terbuka » Ajaran Si Hulk difatwakan sesat

Ajaran Si Hulk difatwakan sesat

Klip video yang mengandungi pelbagai kesalahan akidah oleh ajaran Si Hulk. - Foto You Tube

JOHOR BAHRU – Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan fahaman dan ajaran yang diasaskan dan dibawa oleh Suhaini Bin Mohammad atau Suhai Ibni Mohammad atau Si Hulk atau apa jua nama atau gelaran yang dikaitkan dengannya adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan penelitian dan perbincangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 28 September tahun lalu. Jabatan Mufti kini sedang dalam tindakan mewartakan fatwa berkenaan supaya boleh dikuatkuasakan.

“Antara fahaman dan ajaran Suhaini Bin Mohammad yang bertentangan dengan akidah, syariah dan Islam ialah mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan. Ia terdapat dalam petikan kata-kata Suhaini dalam YouTube bertajuk : Sesat Atau Benar bertarikh 4 April 2020.

“Dia juga menyatakan rahsia Tuhan bahagian 5 : ‘Saya berpendapat bahawa : Nabi Muhammad SAW adalah Esa, bersalahan dengan makhluk. Baginda tidak beranak dan tidak diperanakkan, Nabi Muhammad SAW adalah induk (ummi) dan semua makhluk adalah cahaya (nur) baginda yang diseru Allah kepada baginda’. Ia diambil dari status Facebook yang dimuat naik melalui Facebook Suhai Ibni Mohammad,” katanya dalam satu kenyataan pada 30 Mei.

Menurut Yahya, ajaran sesat itu turut mendakwa Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai kemaluan. Kelazatan melihat wajah Allah (wajah Rasulullah) adalah penyebab lahirnya zuriat Nabi SAW yang dikandungkan oleh Saidatina Khadijah RA.

Katanya ajaran terbabit juga membuat tafsiran yang menyeleweng pada ayat al-Quran dan hadis.

“Menerusi sumber dalam YouTube Transformation Academy ucapan Suhaini Bin Mohammad bertajuk Sesat Atau Benar minit 7:35 hingga 9:30, surah al-Baqarah ayat 35 dan surah Taha ayat 120 iaitu ayat yang melarang Nabi Adam dan isterinya memakan buah larangan.

“Kata Suhaini Mohammad : ‘Adam makan buah Hawa melalui mulut atas lalu jadilah halkum, manakala Hawa makan buah Nabi Adam melalui mulut bawah lalu jadilah ovari yang akibatnya menyebabkan wanita datang haid setiap bulan’. Perkara itu tidak benar sama sekali dan menyeleweng.

“Mereka-reka hadis yang didakwa sebagai hadis Qudsi yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW itu Esa. (Sumber : Petikan daripada Youtube Transformation Academy ucapan Suhaini Bin Mohammad bertajuk Ahmad Tanpa Mim : saat 0.32 hingga minit 1:02),” katanya ketika dihubungi.

Jelas Yahya, ajaran itu turut membuat penipuan terhadap produk-produk yang dikeluarkan seperti air dan botol Si Hulk untuk menarik minat orang membelinya.

Antaranya mendakwa dan membuat tafsiran yang salah terhadap ayat al-Quran pada surah al-Baqarah ayat 248 dengan menyatakan bahawa kotak Si Hulklah peti tabut yang menjadi rebutan. (Sumber : Status facebook Si Hulk).

“Dia juga mendakwa Si Hulk merupakan air hayat iaitu air yang diperoleh Nabi Khidir menjadikan baginda mampu hidup hingga hari kiamat. Malah dia mendakwa botol Si Hulk digunakan untuk melaksanakan ritual menangkap jin ke dalam botol,” katanya.

Justeru itu, Yahya meminta mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah diharamkan dan dilarang berpegang dengan fahaman dan ajaran Suhaini Bin Mohammad sama ada dengan menjadi pengikut, ahli kumpulan, berada di dalam majlis atau acara yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran Suhaini Bin Mohammad.

“Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang mengajar, menganjur, belajar, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran Suhaini Bin Mohammad adalah melakukan kesalahan,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *