Home » Langit Terbuka » Ajaran sesat: Kerajaan konsisten lakukan pemantauan

Ajaran sesat: Kerajaan konsisten lakukan pemantauan

Dr Zulkifli Hasan

SEREMBAN – Pemantauan secara konsisten sentiasa dilakukan kerajaan bersama pihak berwajib di setiap negeri dalam usaha menangani isu ajaran sesat di negara ini.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ia adalah amalan yang dilakukan sejak sekian lama termasuk tindakan tegas dalam usaha memastikan bahawa akidah dan aspek agama Islam itu terpelihara.

Menurutnya, paling penting masyarakat Islam perlu mendapatkan nasihat daripada pihak berautoriti dalam mendapatkan nasihat berkaitan agama.

“Umumnya kita sangat hargai dan kita raikan semangat, minat dan kecenderungan orang awam (Islam) untuk beragama dan mendapatkan pengajaran kefahaman Islam yang baik.

“Namun begitu, apa yang boleh kita nasihatkan kepada seluruh rakyat Malaysia apabila kita ingin mendapatkan sesuatu kefahaman itu perlulah datang daripada sesuatu yang berautoriti, dijamin kesahihannya dari segi akidah, tasawuf dan syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik selesai Majlis Sambutan Maal Hijrah di Masjid Dato Klana Petra Mubarak Al-Haj di sini pada Sabtu.

Sementara itu, mengulas mengenai ajaran sesat Millah Abraham yang dikesan di Negeri Sembilan baru-baru ini, beliau berkata, pihaknya memberikan keyakinan penuh kepada pihak berautoriti di negeri ini dalam menangani isu tersebut.

“Negeri Sembilan ada peruntukan undang undangnya, penguat kuasa dan jawatankuasa yang mampu untuk menangani isu ini,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan tiga beranak dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam serbuan di dua buah rumah berasingan di Sungai Kelamah, Gemas dan Palong 3, Jempol.

Pasangan suami isteri berusia 40-an serta anak lelaki mereka berusia 16 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang.

Terdahulu, dalam majlis berkenaan, Zulkifli turut merasmikan sudut infaq masjid di situ melibatkan pakaian,makanan dan buku yang disumbangkan oleh ahli kariah masjid.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *