Home » Persuasif » Air Jampi Tok Hasan

Air Jampi Tok Hasan

 

Oleh ISMAIL IBRAHIM

Dato’ Dr Ismail Ibrahim adalah Pengerusi Institut Profesional Baitulmal. Beliau juga bekas Ketua Pengarah IKIM, Duta Besar Ke Arab Saudi, bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Pensyarah dan penyandang pertama Kursi Sheikh Abdullah Fahim Institut Islam Hadhari di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Teringat ketika kecil dahulu, setiap kali demam, bukan doktor, tetapi Tok Hasan lah orang pertama yang dicari. Tok Hasan adalah bomoh di kampung saya lima hingga enam dekad yang lalu. Selain memupuk air asam jawa diubun-ubun kepala dan mandi air perigi yang sejuk menyengat tulang, air jampi Tok Hasan turut menjadi ikhtiar. Alhamdulillah, asbab air jampi Tok Hasan, ditambah dengan ikhtiar berubat secara alami ciptaan Allah ini, memberikan kelegaan kepada demam yang saya hadapi ketika itu.

Perubatan secara alami ini, perumpamaannya sama seperti api yang membakar. Itu adalah undang-undang alam ciptaan Allah. Kalau tak mengelak dari api, kita boleh jadi terbakar, tetapi dengan kehendak Allah SWT, api itu tidak boleh membakar seperti yang dikehendaki Allah ketika Nabi Ibrahim AS dicampakkan kaumnya ke dalam api.

Air jampi yang digunakan tiap kali demam itu didapati daripada Tok Hasan, bukan dibeli di pasar tanpa benar-benar mengetahui sumbernya atau tanpa mengetahui siapakah yang menjampi. Dikhuatiri ‘air jampi’ yang dibeli mungkin hanya air kosong biasa tetapi dengan slogan – “Di jamin dapat menyembuhkan segala jenis penyakit!”

Itu bukan caranya. Keluarga saya mengenali Tok Hasan dengan amat rapat. Tok Hasan yang dikenali tidak pernah dipersoalkan tentang ilmu dan akhlaknya. Kami secara peribadi akan menceritakan kepadanya tujuan air jampi diperlukan, malah untuk siapa digunakan kalau tidak untuk diri sendiri. Orang yang menjampi adalah khusus untuk orang yang memerlukannya, bukan pakai borong dan umum untuk sesiapa sahaja penggunaannya.

Maka di sinilah perkiraannya untuk kita membuat pertimbangan bilakah air jampi diperlukan, untuk apa dan dari siapa diperoleh. Dan disinilah juga seringkali orang yang mengubat secara Islam itu akan memberitahu kita apakah ikhtiar yang harus kita lakukan sebagai tambahan kepada ikhtiarnya sendiri dengan berdoa kepada Allah SWT.

Saya bawakan cerita zaman kanak-kanak saya ini kerana ingin berkongsi pengalaman bahawa dalam proses berubat dengan jampi dan doa, kita haruslah juga berikhtiar dengan kepandaian dan ilmu yang diberikan Allah SWT kepada kita. Mak saya tidak belajar universiti, tetapi dia mempelajari cara menurunkan suhu badan yang panas dengan memupuk air asam jawa diubun-ubun dan mandi air sejuk. Bukan hanya membiarkan saya terlantar begitu saja atau hanya mengharapkan air jampi Tok Hasan itu saja.

Allah berfirman dalam surah al-Ghafir ayat 60 yang bermaksud: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” Jadi berdoalah banyak-banyak kepada Allah. Bahkan agama Islam juga melalui ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW mengajar kita bahawa berusaha dan berikhtiar itu adalah satu keperluan dalam hidup kerana berdoa itu termasuklah berikhtiar dan bertawakal.

Malah Rasulullah SAW ketika melakukan hijrah, juga telah berikhtiar menggunakan kebijaksanaan dan strateginya yang pintar untuk mengelak diri dari bahaya yang datang dari orang kafir dan meloloskan diri Baginda dari dijejaki musuh yang hendak membunuhnya. Setelah itu barulah Baginda berserah dan bertawakal kepada Allah SWT.

Orang sekarang tidak kira bomoh atau tidak, profesional atau alim ulama, sering terperangkap dalam jerangkap kebendaan dan persaingan kehidupan moden, bukan seperti Tok Hasan yang penah mengubati saya dahulu. Zaman dulu dengan  zaman sekarang sangat jauh berbeza.

Kerana wang, banyak orang yang sanggup menggadaikan segala prinsip dan maruahnya, malah sanggup menipu dan berbohong. Orang ramai pula mudah tertipu dan terpengaruh dengan ayat-ayat manis dan slogan yang menggunakan Islam. Sedangkan Allah telah mengingatkan dalam al-Quran Surah al-Anbiya ayat tujuh yang bermaksud: “… maka bertanyalah kamu kepada AhluzZikri jika kamu tidak mengetahui.”

Saya amat yakin dengan doa dan permintaan kepada Allah sepertimana firman Allah dalam Surah al-Ghafir ayat 60 tetapi saya amat bimbang dengan banyaknya jenis air dalam pasaran terbuka yang dikatakan air jampi itu. Dunia sekarang penuh tipu daya, malah ramai yang memperalatkan agama untuk kepentingan peribadi dan keuntungan duniawi.

Kalau sesiapa yang memerlukan air jampi atau apa saja namanya, pergilah sendiri kepada orang yang dikenali yang diketahui tentang peribadi dan ilmu hikmahnya, perangai dan sikapnya. Jangan hanya pakai borong saja apa-apa yang didakwa orang di pasaran.

Hakikatnya, air yang dibacakan dengan ayat-ayat suci al-Quran adalah ikhtiar para alim ulama yang benar-benar alim dan mendalami rahsia kandungan al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW. Bukan sebarang orang boleh berubat dengan mendakwa sebagai pengamal perubatan Islam. Zaman dulu disebut sebagai air penawar untuk penyakit, iaitu berdoa kepada Allah SWT untuk menyembuhkan penyakit rohani dan jasmani yang dialami manusia yang sakit. Oleh itu jangan mencampur-adukkannya dengan pencemaran akidah dan khurafat yang bertentangan dengan ajaran agama.

Media massa yang mengiklankan segala macam air dan ubatan yang dikatakan berunsurkan Islam ini haruslah berhati-hati supaya tidak turut bersubahat dalam zaman kebangkitan Islam pada masa kini; ketika orang Islam sedang berusaha untuk kembali kepada agama dan menghayati segala ajarannya, termasuk dalam perubatan, kosmetik dan produk yang halal dan sihat (halalan tayyiban).

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *