Home » Persuasif » Aidilfitiri bukan hari berpesta

Aidilfitiri bukan hari berpesta

Men offer Eid al-Fitr prayers marking the end of the holy fasting month Ramadan at Jama Masjid (Grand Mosque) in the old quarters of Delhi, India, June 16, 2018. REUTERS/Saumya Khandelwal TPX IMAGES OF THE DAY

Oleh A. Ghani Ahmad

Sebaik-baik terbenam saja matahari akhir bulan Ramadan, maka muncullah satu Syawal dan tibalah Aidilfitri yang dinanti-nanti. Dengan tibanya saat bahagia itu bergema kembalilah suara takbir dan tahmid memenuhi ruang angkasa : Allahhu Akhbar, Allahhu Akhbar, Allahhu Akhbar Walillahilhamd.

Lebih dari satu billion umat Islam di seluruh dunia merayakan hari kejayaan mereka menentang hawa nafsu. Hari yang disebut oleh Rasulullah SAW sebagai satu hari paling gembira bagi setiap umat Islam. Kegembiraan kerana berjaya menyempurnakan ibadat puasa, manakala satu lagi hari kegembiraan umat Islam ialah bertemu dengan tuhannya di hari Akhirat.

Gema takbir yang berkemundang pada saat-saat begini adalah menggambarkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga kepada Tuhan yang Maha Esa di atas segala limpah kurnianya kepada kita selama ini. Gema takbir dan tahmid pada hari bahagia ini dengan sendirinya membezakan Aidilfitri dari hari-hari perayaan yang lain.

Memang sudah menjadi satu budaya di sepanjang sejarah dunia bahawa dap kelompok manusia mempunyai hari perayaan yang tertentu. Di antara hari perayaan dan manusia semacam sesuatu yang tidak boleh dipisahkan.

Pada lazimnya hari-hari perayaan itu disambut dalam bentuk bersukaria berhibur, tetapi bagi umat Islam walaupun terdapat rasa kesukaan dan terhibur, namun segala kegembiraan dan hiburan itu adalah sesuatu yang terkawal dan memberi manfaat di dunia dan akhirat.

Setiap individu Muslim harus sedar bahawa menyambut Hari Raya dengan cara berpesta-pestaan adalah `mengkhianati’ matlamat Hari Raya itu sendiri.

Banyak pengajaran dapat kita hayati daripada perayaan Aidilfitri setiap tahun. Daripada persiapan untuk diri, keluarga, pulang ke kampung hinggalah ke acara rumah terbuka, semuanya mempunyai pengajaran dan iktibar bagi mereka yang memahami erti sebenar Aidiffitri al-Mubarak.

Bagaimanapun, kita sering melupai pengajaran dan iktibar ini kerana Aidilfitri sudah bertukar menjadi acara pesta-pestaan yang kadangkala dipenuhi dengan pem­baziran dan tidak kurang juga dengan unsur kemungkaran.

Sungguhpun pelbagai peringatan, nasihat dan teguran telah diberi, namun ramai daripada kita belum mampu melawan nafsu diri untuk mengembalikan fungsi Hari Raya sebagai hari kesyukuran dan keinsafan. Tidak dinafikan, manusia memerlukan hiburan tetapi kemahu­an hati perlulah di kendalikan dengan sebaik-baiknya, jika tidak nilai moral dan kemanusiaan akan musnah.

Berhibur biarlah ada batasannya, hiburan yang terbatas mengikut cara yang betul bukan saja boleh men­datangkan faedah kepada diri sendiri dan keluarga, tetapi juga mendatang­kan ketenangan jiwa.

Sesungguhnya umat Islam di Ma­laysia paling meriah merayakan Aidilfitri, berbanding masyarakat Islam di negara lain. Hal ini ada kaitannya dengan latar belakang masyarakat kita yang sudah sekian lama melihat Hari Raya sebagai satu-satunya hari untuk berhibur dan bersukaria. Sejak negara belum mencapai kemakmuran seperti sekarang, ramai dari kita menjadikan Hari Raya sebagai hari untuk ber­belanja besar. Musim raya adalah musim menukar baju baru, kasut baru, perkakas rumah baru dan memakan makanan yang enak-enak.

Apatah lagi, setelah kita bertambah makmur, Hari Raya menjadi lebih meriah dan menyeronokkan. Selain menukar baju baru dan langsir baru, ramai pula dari kita sudah mampu meng­habiskan wang yang banyak untuk keluar berhibur di bandar atau di pusat-pusat hiburan.

Bayangkan berapa ratus juta ringgit yang dibelanja oleh umat Islam setiap kali tibanya Hari Raya untuk membeli segala macam pehiasan rumah,menempah pakaian baru dan untuk berhibur. Ini adalah pembaziran yang bertentangan dengan semangat Aidilfitri dan sudah tentu ditegah oleh Islam.

Oleh itu, marilah kita bersama­-sama menjadikan Aidilfitri sebagai hari untuk umat Islam bersyukur, insaf dan bermaaf-maafan.

Kemeriahan hari raya tidak akan terjejas tanpa pembaziran. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *