Home » Langit Terbuka » Ahok cabar sabitan hina Islam

Ahok cabar sabitan hina Islam

Ahok memfailkan semakan kehakiman terhadap kesnya.

JAKARTA: Bekas Gabenor ibu kota ini, seorang penganut Kristian yang disabitkan menghina Islam memfailkan semakan kehakiman terhadap kesnya hari ini, ketika ratusan penyokongnya dan penunjuk perasaan Islam berhaluan tegar berkumpul di luar sebuah mahkamah di ibu kota Indonesia.

Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali ‘Ahok’, bekas pemimpin berketurunan Cina, dipenjara dua tahun kerana menghina Islam pada 2017, mencetuskan kutukan antarabangsa di tengah kebimbangan sabitan bermotif politik susulan tunjuk perasaan diketuai pelampau Islam menuntut dia dipenjarakan.

Permohonan Ahok untuk semakan kehakiman itu akan diserahkan kepada Mahkamah Agung, kata seorang hakim di mahkamah rendah.

“Kami sudah selesai meneliti kes ini dan segala maklumat untuk semakan akan dihantar ke Mahkamah Agung,” kata Hakim Mulyadi, seorang anggota panel di mahkamah Jakarta Utara.

Ketika dalam lawatan kerja pada 2016, Ahok berkata, seteru politiknya menipu orang ramai dengan menggunakan petikan ayat Al-Quran menyatakan umat Islam tidak boleh dipimpin bukan Islam.

Satu video memaparkan kenyataannya yang dialih bahasa secara salah mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran diketuai penyokong tegar Islam yang pada akhirnya menyebabkannya dibicarakan ketika berkempen dalam pilihan raya bandar ini.

Ahok kalah dalam cubaan pemilihan semula kepada lawannya, Anies Baswedan ketika pilihan raya April lalu dalam undian paling huru hara sejak beberapa tahun lalu.

Peguamnya, Josefina Syukur berkata, kes itu dicabar kerana mereka percaya, hakim membuat kesilapan dan membenarkan mahkamah menimbang sabitan berikutnya terhadap seorang pensyarah kerana mengubah video Ahok. -Reuters

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *