NEW DELHI – Ketegangan tercetus di bandar Hyderabad di selatan India selepas seorang pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP) mengeluarkan video menghina Nabi Muhammad (SAW).
BJP menggantung anggota Dewan Undangan Negeri Telangana, T. Raja Singh selepas beliau ditahan polis pada Selasa kerana kenyataan yang menyinggung perasaan itu.
Bagaimanapun, Singh dibebaskan beberapa jam selepas dihadapkan ke mahkamah.
Umat Islam mengadakan protes di Hyderabad, ibu kota Telangana, menuntut penahanan ahli politik itu.
Singh merupakan ahli politik kontroversi kerana pernah membuat komen provokatif tentang umat Islam dan Islam sebelum ini.
Negeri itu diperintah oleh Telangana Rashtra Samithi (TRS), sebuah parti politik negeri.
Dalam video yang disiarkan di media sosial pada Rabu, anggota polis yang berpakaian anti rusuhan dilihat memukul penunjuk perasaan dan menyerbu masuk ke dalam rumah.
Presiden Majlis-e-Ittehadul Muslimeen (AIMIM) Seluruh India Asaduddin Owaisi, yang mewakili Hyderabad di parlimen India, berkata terdapat “cubaan yang disengajakan” oleh BJP dan anggota dewan tempatan untuk menimbulkan masalah.
Beliau berkata bantahan akan berterusan sehingga ahli politik BJP itu dipenjarakan. –AlHijrah Online
KOMEN