PUTRAJAYA 7 Mei – Pengaruh dalam bentuk jihad dan mati syahid oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) yang berjaya menarik penyertaan segelintir umat Islam seluruh dunia termasuk Malaysia jelas terkeluar daripada ajaran Islam dan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Tokoh ulama sunni India, Sheikh Aboobacker Ahmed berkata, malah perbuatan ganas yang dilakukan oleh kumpulan itu sehingga sanggup membunuh sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua jelas bertentangan dengan konsep wasatiyyah yang selama ini menjadi teras kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Beliau berkata, dalam manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah para pengikutnya tidak pernah diajar untuk melakukan perbuatan secara ekstrem, melampau dan segala bentuk kekerasan.
“Oleh itu golongan yang menamakan diri mereka sebagai Islam secara umum mahu pun mereka menamakan ahli sunnah secara khusus yang kemudiannya melakukan keganasan, kekerasan dan pembunuhan sebenarnya terkeluar daripada manhaj ini (Ahli Sunnah Wal Jamaah),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena penganjuran Muktamar Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah Sedunia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Muktamar yang bertemakan “Mengenal Hakikat Ahli Sunnah Wal Jamaah” anjuran Yayasan Perdana Ummah yang berlangsung selama tiga hari itu disertai 25 ulama dari 15 negara. Sepuluh kertas kerja akan dibentangkan bagi memperkemas pegangan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kalangan umat Islam.
“Ini bukan jihad dalam Islam. Ajaran Islam mengajar kita membawa manhaj wasatiyyah dan inilah manhaj yang selamat,” ujarnya.
Sumber daripada www.utusan.com.my
KOMEN