KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada warga Wisma Putra khususnya pegawai dan petugas kedutaan Malaysia di luar negara serta Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar dalam usaha membantu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara ekoran penularan wabak berkenaan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, titah penghargaan itu telah disampaikan kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semasa sesi menghadap menerusi sidang video pada 6 Mei.
“Al-Sultan Abdullah amat menghargai komitmen, kompetensi dan sikap profesionalisme yang telah ditunjukkan oleh pegawai dan petugas Wisma Putra dalam mengharungi cabaran untuk membawa pulang 14,015 rakyat Malaysia dari 70 buah negara,” katanya menerusi kenyataan itu.
Tambah beliau, Seri Paduka Baginda turut menghargai khidmat yang diberikan oleh Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar dalam menyediakan laporan dan khidmat konsular kepada diplomat asing di Malaysia serta rakyat Malaysia yang masih berada di negara dilanda wabak itu.
“Seri Paduka Baginda menasihati diaspora Malaysia di luar negara agar sentiasa berhati-hati dan dapat menyesuaikan diri dengan amalan kebiasaan baharu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
“Disiplin diri dan komitmen terutamanya pematuhan jarak sosial dan kebersihan diri serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh negara-negara yang mereka bermastautin perlu diberi perhatian yang serius,” katanya.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar Wisma Putra mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang baik dan kerjasama rapat yang sedia terjalin antara Malaysia dan rakan-rakan negara di seluruh dunia.
Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda yang pernah melanjutkan pengajian di dalam Hal Ehwal Luar Negeri dan Diplomasi di Worcester & Queen Elizabeth College di United Kingdom pada tahun 1981 mempunyai kecenderungan tinggi di dalam bidang diplomatik dan amat memahami kepentingan hubungan dua hala dengan negara luar.
Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar umat Islam mengambil keberkatan bersempena Ramadan Al-Mubarak dan sambutan Nuzul Quran yang akan menjelang tidak lama lagi untuk berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati serta pandemik ini dapat dibendung dan diakhiri dengan segera. – Bernama
KOMEN