KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan sedih atas pencerobohan serta serangan ganas tentera rejim Israel terhadap Masjid al-Aqsa dan Semenanjung Gaza.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah menyifatkan pencerobohan dan serangan berterusan terhadap tempat suci umat Islam yang ketiga itu dan rakyat Palestin pada hari-hari terakhir bulan Ramadan sebagai perbuatan keji dan tindakan yang amat zalim serta tidak berperikemanusiaan.
Sehubungan itu, lanjutan kepada perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Palestin semalam, Seri Paduka menzahirkan sokongan supaya Malaysia menerajui serta bersama-sama dengan Indonesia dan Brunei untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim zionis Israel ke atas Palestin.
“Seri Paduka Baginda turut telah menegaskan bahawa kerajaan Malaysia menyokong dan mengalu-alukan cadangan untuk persidangan tergempar Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) diadakan bagi membincangkan isu keganasan Israel terhadap Palestin yang dijadualkan hari ini,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur pada 16 Mei.
Dilaporkan pencerobohan dan serangan rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin kali ini bermula dengan serangan di Masjid al-Aqsa sejak 7 Mei lepas diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza sejak Isnin lalu.
Sejak itu, dilaporkan lebih 119 rakyat Palestin terkorban dan beratus-ratus lagi cedera setakat ini.
Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan harapan supaya seluruh rakyat Malaysia terus memperjuangkan prinsip keadilan dan sikap hormat-menghormati di samping menolak serta menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.
Berikutan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah rakyat Malaysia sentiasa bersolidariti bersama Palestin ke arah mencapai aspirasi negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota negara itu.
“Ini juga adalah selari dengan pendirian dan prinsip kerajaan Malaysia yang tidak berbelah bagi menyokong usaha-usaha penubuhan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka, selaras dengan undang-undang dan inisiatif di peringkat antarabangsa,” titah Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka turut menitahkan masjid dan surau serta rakyat di negara ini mengadakan solat hajat dan doa selamat selepas solat maghrib esok, bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin daripada niat jahat rejim Israel.
“Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama-sama Baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel,” kata Ahmad Fadil. – Bernama
KOMEN