SUBANG JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 5 April menyampaikan sumbangan peribadi melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) berjumlah keseluruhan RM308,000 iaitu RM1,000 bagi setiap 308 keluarga mangsa letupan paip gas di Putra Heights.
Sumbangan itu diberikan ketika baginda menyantuni mangsa terbabit di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Masjid Putra Heights.
Baginda tiba di PPS berkenaan dengan memandu sendiri kereta Proton Satria Neo pada kira-kira jam 10.20 pagi, diiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Terdahulu, Sultan Ibrahim melawat lokasi kejadian kebakaran paip gas di Putra Heights di sini, pada jam 9.40 pagi.
Baginda turut diberikan taklimat berhubung situasi semasa oleh Amirudin dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Baginda menzahirkan keprihatinan terhadap nasib mangsa dan turut bertanyakan mengenai kaedah untuk mengatasi trauma dihadapi mereka. – Berita Harian
KOMEN