Home » Persuasif » Agamawan pemangkin majukan negara

Agamawan pemangkin majukan negara

Oleh Dr Muhamad Razak Idris

Perhimpunan Agamawan Kebangsaan  yang dianjurkan Majlis Dakwah Negara (MDN) pada 20 Julai 2016 lalu di Bangi telah mencapai beberapa ketetapan penting  yang memperlihatkan komitmen menyeluruh sebahagian besar para agamawan tanahair untuk menyumbang sebagai pemangkin pembangunan negara. Seramai lebih 300 orang hadir ke perhimpunan itu dari seluruh negara.

Awalnya, sebahagian anggota masyarakat tertanya siapakah agamawan? Mereka bertanyakan perbezaan antara agamawan dengan para mufti, pendakwah dan ustaz serta ustazah yang biasa digunakan dalam media perdana negara.

Istilah agamawan mengandungi ruang definisi yang luas dan ia boleh difahami dalam pengertian yang khusus dan umum. Secara khusus, agamawan merujuk kepada mereka yang memiliki keahlian dalam bidang-bidang tertentu tentang ilmu-ilmu Islam yang amat luas. Kajian ilmu-ilmu Islam hari ini dinamik dan berkembang antaranya berkenaan aqidah, falsafah, pemikiran, syariah, muamalat, perbankan, bahasa arab, sejarah, tamadun Islam, ilmu-ilmu al-Quran dan hadis, dakwah, kepimpinan dan kaunseling serta lain-lain lagi. Mereka yang memiliki keahlian dalam pelbagai bidang ini dan memperoleh latihan asas dalam bidang pengajian Islam samada secara formal atau tidak formal adalah tergolong sebagai agamawan.

Pengertian umum pula melewati semua lapisan masyarakat Islam yang memiliki kriteria antaranya, berfikrah Islam, memiliki dan menghayati akhlak dan keperibadian yang Islam, menyakini kesyumulan agama Islam sebagai sebuah sistem terbaik bagi urusan kehidupan serta mencintai agama dan berusaha dalam kadar keupayaannya untuk mengangkat kedudukan umat Islam di peringkat negara dan antarabangsa. Bagi seseorang yang memiliki ciri atau kriteria ini, mereka adalah tergolong sebagai perkumpulan agamawan.

Negara kita amat bertuah kerana telah mempunyai jumlah agamawan yang besar. Sejak negara mencapai kemerdekaan lebih enam dekad lalu, ruang dan peluang bagi anggota masyarakat menumpu keahliaan mereka dalam bidang keagamaan begitu terbuka dan sebahagian memperoleh galakan kewangan oleh pihak kerajaan. Pada masa kini, para agamawan memperoleh latihan dan pengajian secara formal diinstitusi pengajian Islam tempatan dan luar negara terutama di Timur Tengah.  Pada masa sama, institusi tidak formal yang ditawarkan oleh sistem pondok dan madrasah juga telah menyumbang dengan amat bermakna kepada kelahiran ramai agamawan.

Kita patut berasa bangga dengan kelahiran ramai agamawan dalam negara. Ia sejajar dengan kefahaman tentang kesepaduan hubungan antara agama dan negara yang dianjurkan oleh agama Islam. Tidak seperti pengalaman ketamadunan Barat moden di mana agama dan negara telah wujud secara terpisah di dalam ruangnya yang tersendiri. Fungsi agama dalam tradisi sekularisme telah dikawal dengan amat ketat sehingga ia difahami atau dirujuk sebagai dokrin kepercayaan dan amalan kerohanian yang khusus untuk individu. Fungsi agama tidak terjelma dalam sistem sosial dan kenegaraan.

Pengalaman masyarakat di Timur adalah unik dan berbeza dengan pandangan yang diwarisi oleh pemikiran Barat moden. Dalam tradisi Islam, agama tidak sahaja mengandungi aspek doktrin kepercayaan, tetapi sebuah nizam al-hayat, satu sistem kehidupan yang menyeluruh. Dalam erti kata lain, fungsi agama menurut Islam tidak hanya terhad kepada lingkungan individu, malah berfungsi dalam membentuk sistem sosial, kebudayaan, politik dan ekonomi masyarakat dan negara. Sehubungan itu, peranan agamawan bukan hanya sebagai ahli rohani sahaja, malah perlu berfungsi secara aktif dalam proses pembangunan negara.

Kedapatan juga suara yang bertanya, bagaimanakah agamawan boleh berperanan dalam membangunkan negara sedangkan mereka hanya dilatih dalam aspek-aspek kajian keagamaan sahaja. Pertanyaan ini adalah soalan yang serong kerana ia dipandu oleh pemikiran yang sempit dengan beranggapan sesebuah negara itu hanya mengandungi aspek fizikal yang hanya memerlukan ketrampilan membina bangunan, mencipta peralatan atau melakukan kira-kira wang sahaja. Pandangan itu juga memperlihatkan sikap serong terhadap agamawan yang dilihat seolah golongan tepu yang tidak berkeupayaan untuk menguasai pelbagai bidang ilmu kemanusiaan dan kemahiran yang lain.

Hakikatnya, sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada sumber asli yang mewah bagi menggerakkan pembangunannya. Aspek lain yang utama yang diperlukan negara ialah elemen nilai dan budaya. Tanpa elemen ini, gerakan pembangunan tidak akan tercapai secara optimum dan berkesan. Terdapat banyak negara hari ini yang memiliki sumber asli dan tenaga yang mewah, namun tahap pembangunan negaranya lemah dan tidak menentu disebabkan oleh kelemahan nilai dan budaya hidup yang pasif dari kalangan warga masyarakatnya.

Sebuah negara tidak mungkin boleh berkembang maju sekiranya rakyatnya berkeperibadian mementingkan diri, irihati dan suka menindas di antara satu dengan lain. Negara juga tidak akan mampu membangun andainya warganya tidak memiliki sikap mencintai negara, semangat patriotisme dan jatidiri yang lemah. Lebih parah lagi andainya warga rakyat negara itu berada dalam keadaan saling bermusuhan, berpecah belah dan saling bertumpahan darah di antara satu dengan lain.

Kesemua aspek itu ialah gambaran betapa penting elemen nilai dan budaya dalam pembangunan sesebuah negara. Salah satu peranan besar para agamawan ialah menyumbang dalam penerapan nilai dan budaya yang positif, sihat dan mulia bersumberkan ajaran keagamaan Islam yang luhur dan sejagat di kalangan warga negara. Al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber nilai utama dalam sistem kebudayaan Islam perlu dipelajari dengan mendalam dan dihebahkan pula kepada masyarakat terbanyak untuk dihayati menerusi pelbagai saluran pendidikan sehingga ia mampu membentuk satu elemen budaya yang utuh, seterusnya memangkin penglibatan masyarakat untuk berkerja dengan lebih tekun, disiplin dan produktif membangunkan negara. Peranan agamawan dalam aspek pembangunan nilai dan budaya hidup berasaskan tasawur Islam ini amat penting sekali.

Pada perhimpunan agamawan yang lalu itu, mereka telah memberikan komitmen yang tinggi dan padu untuk bergerak seiring dengan cita-cita yang disusun oleh MDN terutama sekali dalam memperkasa perpaduan ummah di negara ini. Aspek perpaduan ummah menjadi unsur nilai dan budaya utama yang akan diberi perhatian para agamawan kerana ia adalah asas dan wasilah bagi mencapai pembangunan yang lebih bermakna. Iktibar perpecahan masyarakat Asia Barat hari ini menjadi sempadan kepada para agamawan untuk memastikan pengalaman serupa tidak berulang di negara ini.

Salah satu resolusi terpenting perhimpunan tersebut ialah gesaan penubuhan satu badan rujukan tertinggi bagi hal ehwal agama Islam yang bertanggungjawab memberi nasihat tentang dasar dan pandangan syariah Islam kepada kepemimpinan politik dan akar umbi. Ketetapan ini adalah penting kerana menerusi satu institusi yang dihormati oleh pelbagai pihak, pandangan yang tepat dan benar tentang agama dan masyarakat Islam dapat ditegakkan, manakala pemikiran dan sikap yang menyeleweng atau membawa kepada perpecahan ummah ditegah secara tegas dari terus berkembang dan berleluasa dalam kehidupan masyarakat  yang pelbagai dan majmuk di negara kita.

Penulis ialah Setiausaha Majlis Dakwah Negara (MDN) dan juga pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *