Oleh MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH
Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah adalah Felo Utama Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam (INSPIRE), Pusat Penataran Ilmu (PPI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Politik mempunyai kaitan yang erat dengan kuasa. Kuasa merupakan sumber utama bagi seseorang untuk memerintah. Dalam sistem demokrasi, kuasa diperolehi melalui pilihanraya. Kemenangan seseorang calon dalam pilihanraya bermakna ia sudah mendapat tiket untuk berkuasa.
Namun begitu, kuasa yang tidak dikawal akan menyebabkan berlakunya korupsi seperti yang pernah dikatakan oleh Lord Acton: “Power tends to corrupt and absolute power corrupts absolutely.”
Hal ini biasa berlaku dalam dunia politik. Ada segelintir ahli politik mulai lupa daratan atau tidak sedar diri apabila berkuasa. Kuasa digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk memenuhi kehendak nafsu dan mendapatkan berbagai-bagai kemudahan. Sedangkan maksud politik itu asalnya bertujuan menjaga maslahat umum. Memastikan rakyat hidup di bawah naungan kestabilan dan keamanan.
Justeru itu, tindakan yang dikenakan terhadap ahli politik yang terlibat dalam jenayah, masalah moral dan penyalahgunaan kuasa patut dipuji. Idea ini bertepatan dengan ajaran Islam itu sendiri yang berkehendakkan umatnya menjauhi kemungkaran dan menyeru kepada kebaikan.
Keperluan kepada pemimpin berakhlak mulia
Negara memerlukan pemimpin politik yang berakhlak mulia. Pemimpin bermoral tinggi yang mampu menghadapi cabaran akan datang yang sudah tentunya semakin canggih dan kompleks. Sekiranya kita tidak mempunyai barisan pimpinan politik yang benar-benar berwibawa sudah pasti negara kita akan menuju kehancuran. Dengan sebab itu, dalam sistem politik Islam, awal-awal lagi sudah digariskan kriteria-kriteria untuk menjadi seorang pemimpin politik. Antaranya ialah mempunyai sifat seperti alim, berakhlak mulia dan adil.
Ini tidak lain bertujuan untuk membendung seseorang pemimpin politik itu daripada terpesona untuk melayan nafsu diri semata tanpa menghiraukan tanggungjawab sebenar. Sarjana Islam, Muhammad Kurdi Ali, mengingatkan bahawa jika 1000 orang mencebur diri dalam bidang politik belum tentu lagi seorang daripadanya mendapat kejayaan.
Kenyataan ini membawa maksud bahawa sebagai khalifah Allah, kita memikul tanggungjawab yang besar apatah lagi ahli politik yang telah diberikan kepercayaan dan amanah untuk memimpin negara dan rakyat keseluruhannya.
Justeru itu, kita perlu menyediakan pemimpin politik berakhlak yang akan menjadi benteng kukuh pada masa akan datang. Benteng yang kukuh ini mesti dibina oleh pimpinan hari ini supaya penerusannya akan dapat dilakukan oleh generasi akan datang.
Lantaran itu, kuasa politik hendaklah dianggap sebagi satu amanah dari Allah SWT yang diperolehi melalui rakyat. Amanah ini merupakan amanah yang amat besar dan berat. Sebelum ianya dapat dilaksanakan, sudah pasti mereka yang telah diberi tanggungjawab perlu menghayati dengan sepenuhnya. Janganlah hendaknya kita memberi amanah kepada mereka yang tidak tahu menilai apa dia amanah. Akibatnya, bila jawatan dipegang berlakulah salahguna kuasa dan penyelewengan.
Kerana itulah Rasulullah SAW mengingatkan mereka yang melihat hanya semata-mata kepada jawatan dan pangkat bahawa jawatan dan pangkat itu tidak lebih daripada amanah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak, sebagaimana hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: Daripada Abu Zar al-Ghifari, beliau berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, kenapa tidak engkau meletakkan aku di mana-mana jawatan?”.
Kemudian Baginda memukul bahuku dengan tangannya dan kemudiannya Baginda bersabda: “Wahai Abu Zar, sesungguhnya kamu adalah seorang yang lemah (dalam memegang memikul tugas dan jawatan). Sesungguhnya jawatan itu adalah amanah, dan sesungguhnya ia adalah menjadi punca kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat, kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan tuntutan jawatan yang dipertanggungjawabkan ke atasnya itu”.
Tahap kelayakan dan keilmuan
Mengkhianati amanah dalam hadis ini merupakan perbuatan yang keji dan terkutuk. Azab yang dijanjikan oleh Allah adalah amat pedih sekali. Rentetan dari itu, ia perlu kepada apa yang dikatakan sebagai kelayakan dan keilmuan.
Ini merupakan faktor yang tidak dapat tidak, perlu ada kepada pimpinan akan datang. Kelayakan seperti mempunyai kemahiran profesionalisme dan keilmuan yang tinggi merupakan kriteria yang perlu diberi perhatian serius.
Kita boleh mengambil iktibar melalui kisah Nabi Yusuf AS. Baginda tidak mencalonkan dirinya sebagai bendaharawan negara (Mesir) berdasarkan kenabian dan ketakwaannya sahaja, tetapi berdasarkan kepada pengetahuan dan kesanggupan melakukannya. Hendaklah kita menghindarkan dari melantik ahli keluarga dan saudara mara sahaja dalam menganggotai satu-satu jawatan penting tanpa mengambil kira kelayakan dan keilmuannya. Saidina Umar berkata: “Sesiapa yang mengangkat seseorang untuk jawatan yang menguruskan kaum Muslimin, maka diangkatnya orang kesayangan atau hubungan karib atau kerabat di antara kedua-duanya, maka ia telah khianat kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kaum Muslimin.”
Ingatan ini hanya akan menjadi realiti sekiranya ahli politik menyemai sikap berjiwa rakyat. Lebih-lebih lagi mereka dipilih oleh rakyat. Mereka perlu memastikan tidak berlaku diskriminasi di antara golongan miskin dan kaya, muda dan tua, cantik dan buruk dan sebagainya. Tradisi membela rakyat hendaklah diterjemahkan atas rasa insaf dan benar-benar ikhlas.
Saidina Umar Al-Khattab selalu mengingatkan pemimpin di bawah jagaannya supaya tidak bermewah-mewah dan sentiasa membuka pintu rumah untuk rakyat beramah mesra dan mengadu masalah. Sikap sombong dan tinggi diri hendaklah dielakkan apabila telah berkuasa. Pepatah Melayu ada berpesan, ikutlah resmi padi, makin berisi makin tunduk atau kalau memandang ke langit jangan lupa bumi yang dipijak.
Pemimpin politik yang mempunyai rekod yang buruk seperti penglibatan dalam jenayah, masalah moral dan salah guna kuasa hendaklah diketepikan untuk dicalonkan menjadi pemimpin. Keutamaan harus diberikan kepada mereka yang mempunyai akhlak yang baik dan memiliki kelayakan serta kemampuan yang tinggi.
Jika tiada yang benar-benar layak, individu yang mempunyai ciri yang paling banyak dan paling hampir dengan syarat kelayakan tersebut, boleh dipilih untuk menjawat sesuatu jawatan politik. Rasulullah SAW bersabda: “Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah kehancuran. Sahabat bertanya: ‘Bagaimanakah mensia-siakannya?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Apabila sesuatu jawatan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran.” (HR Bukhari, no: 6015).
Membentuk adab dan akhlak berpolitik
Bagi mencapai matlamat di atas, maka salah satu langkah yang mungkin wajar untuk diambil ialah dengan mengadakan kursus induksi (program pembangunan insan) untuk setiap ahli politik secara konsisten. Dalam perkhidmatan awam dan swasta, kursus induksi merupakan satu kemestian kepada kakitangan yang baru bertugas. Ia bertujuan untuk mendedahkan mereka kepada persekitaran di samping meningkatkan akhlak mereka.
Program yang sama juga perlu kepada ahli politik. Mereka sepatutnya didedahkan dengan program yang dapat memimpin mereka dengan adab dan akhlak berpolitik yang tinggi. Nilai-nilai yang boleh diselitkan ialah bagaimana menggunakan kuasa politik mengikut etika dan moral agama. Apakah balasan sekiranya kita menyeleweng dari landasan yang sebenar. Adanya mati, balasan syurga dan neraka.
Perlu diingat, akhlak merupakan asas politik Islam. Tanpa akhlak yang jitu, seseorang tidak dapat membezakan antara yang hak dan batil. Ini hanya akan menjerumuskan seseorang itu ke kancah kesesatan politik iaitu pertama, hawa nafsu yang tamakkan kuasa yang menyebabkan seseorang itu mudah lupa daratan dan melakukan kezaliman dan kedua, mementingkan dan memuaskan nafsu diri sendiri.
Al-Maududi pernah mengatakan bahawa kebersihan akhlak dan kesuciannya di samping kemampuan intelek dan fizikal dalam sebarang urusan negeri harus ditegakkan atas dasar amanah, keadilan, ketulusan dan persamaan. Islam dan politik tidak boleh dipisahkan kerana Islam adalah satu cara hidup atau “way of life”.
Hanya sistem politik yang bersifat sekular yang memisahkan agama dengan politik. Ia merupakan satu kepercayaan bahawa agama dan urusan ketuhanan dan kepaderian tidak boleh dicampuradukkan dengan urusan pemerintahan khasnya dalam bidang pendidikan. Ini juga dijelaskan oleh ahli falsafah Barat seperti Thomas Hobbes dan Rousseau yang mengatakan agama hendaklah dijauhkan daripada kerajaan.
Pendapat sarjana Barat ini ternyata bercanggah dengan kesyumulan agama Islam. Agama merupakan garis panduan untuk manusia berpolitik secara beradab. Politik tanpa agama adalah sesuatu yang tidak sempurna ataupun pincang. Seperti juga yang diutarakan oleh Einstein, sains tanpa agama ataupun agama tanpa sains adalah sesuatu yang pincang.
Maka Islam sebagai agama yang telah sempurna akan menjadi pincang sekiranya politik itu diasingkan dalam kehidupan beragama. Dengan itu, adalah menjadi kewajipan kepada semua manusia menegakkan ajaran-Nya dan berpandukan kepada nilai-nilai yang baik atau adab dalam berpolitik.
Imam al-Ghazali mengatakan agama dan negara (termasuk dalam kehidupan berpolitik) adalah dua unsur yang berkembar. Agama merupakan asas dan pokok pangkal, manakala pemimpin pula adalah pengawal, dan sesuatu yang tidak mempunyai asas maka dengan sendirinya akan runtuh dan sesuatu yang tidak mempunyai pengawal dengan sendirinya akan hilang dan luput. Politik adalah untuk membaiki urusan manusia dengan cara memberi petunjuk kepada mereka ke arah jalan yang lurus yang menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat.
Larangan berniaga
Sebab itu, larangan menceburkan diri dalam perniagaan terhadap wakil rakyat yang memegang jawatan di peringkat kementerian-kementerian tertentu termasuk menteri-menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen dan setiausaha politik sepatutnya diberikan perhatian serius. Larangan ini penting ke arah membersihkan imej pentadbiran dan pengurusan politik negara yang selalu dilabelkan oleh pihak tertentu dengan ungkapan seperti kerajaan rasuah, korup, kroni dan sebagainya.
Rasional dari larangan ini memang jelas sekali. Kerajaan yang ditadbirkan oleh ahli-ahli politik yang menang dalam pilihanraya yang memegang beberapa jawatan di kementerian-kementerian tidak seharusnya menceburkan diri dalam perniagaan kerana tendensi untuk menyalahgunakan kuasa adalah tidak mustahil berlaku.
Penglibatan mereka di kementerian tertentu memudahkan mereka mendapat kepentingan tertentu kerana mereka yang mengepalai sesuatu kementerian itu. Sudah tentu mereka boleh menggunakan kesempatan ini untuk mendapat manfaat dan keuntungan diri sebanyak mungkin seperti mendapatkan lesen-lesen perniagaan, tender-tender, kontrak-kontrak dan sebagainya.
Larangan ini seharusnya dipandang dari aspek positif. Ini bukan bermakna mereka tidak boleh menceburkan diri dalam perniagaan sedangkan dalam perniagaan itu merupakan sembilan per sepuluh daripada rezeki dan sangat dituntutkan dalam Islam.
Tetapi, memandangkan tugas sebagai seorang menteri amat berat, justeru itu, ia memerlukan kepada penumpuan yang lebih. Lebih-lebih lagi mereka sering kesuntukan masa. Adalah tidak wajar sama sekali sekiranya mereka melibatkan diri dalam perniagaan. Mana satu yang hendak diberikan prioriti utama, rakyat atau perniagaan sendiri. Sudah tentu dalam hal ini, rakyat harus diberi prioriti yang tinggi. Lantaran itu, adalah tidak wajar sekiranya ahli politik meletakkan perniagaan sebagai prioriti utama tugasnya dan mengabaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat.
Hakikatnya perniagaan melibatkan perkiraan untung rugi. Ini memerlukan kepada penumpuan masa yang banyak untuk menguruskannya. Kerugian ini kadangkala boleh menyebabkan seseorang itu hilang pertimbangan. Kalau begitulah keadaan di manakah tanggungjawab mereka terhadap rakyat?
Jika kita singkap kembali sejarah silam, lihatlah betapa luhurnya budi seorang pemimpin bernama Umar al-Khattab, sanggup berjalan di tengah malam untuk melihat keadaan rakyat. Soalan-soalan ini sentiasa bermain di kepalanya. Apakah rakyat berada dalam keadaan selesa atau tidak? Adakah mereka yang teraniaya? Bahagiakah mereka?
Ahli politik masa kini sepatutnya mengambil iktibar daripada peristiwa ini dan menunaikan tanggungjawab mereka serta memenuhi janji-janji dan kempen-kempen mereka sebelum mencapai kemenangan dalam pilihanraya. Beberapa perkara berikut hendaklah diberikan perhatian utama:
- Pertama, memelihara agama.Oleh kerana agama Islam adalah agama rasmi negara, langkah-langkah untuk menghayatinya dari semasa ke semasa perlu dibuat.
- Kedua, mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat. Perpaduan yang erat akan melahirkan kekuatan yang padu.
- Ketiga, memastikan pembangunan infrastruktur dan pembangunan spiritual berjalan dengan baik dan lancar. Sedaya upaya cuba membasmi kemiskinan yang boleh membawa kepada kekufuran.
- Keempat, mempertingkatkan moral rakyat. Usaha-usaha perlu dilakukan untuk membendung masalah belia yang begitu berleluasa hari ini. Gejala-gejala seperti pergaulan bebas, seks bebas, lepak, penagihan dadah dan sebagainya perlu ditangani dengan serius. Tenaga muda ini perlu digunakan untuk membangunkan negara bukan menjadi beban kepada negara.
- Kelima, menguruskan kewangan negara dengan bijak dan berhemat terutama untuk kepentingan kebajikan rakyat bukannya mengambil kesempatan daripada kemudahan ini untuk memperkayakan diri sendiri.
- Keenam, meningkatkan imej negara ke peringkat antarabangsa supaya bertambah keyakinan pelabur-pelabur asing untuk memindah teknologi mereka dan seterusnya menambahkan hasil pelaburan negara.
Kesemua faktor di atas memerlukan kepada komitmen dan perhatian yang sepenuhnya oleh ahli politik. Kalaulah mereka melibatkan diri dalam perniagaan, bagaimanakah persoalan tersebut boleh ditangani.
Justeru itu, penglibatan wakil rakyat dalam perniagaan sebolah-bolehnya hendaklah dielakkan demi mewujudkan sistem politik yang lebih beradab dan berakhlak mulia. Sistem politik tidak dibina dengan adab-adab mulia akan menyebabkan kebajikan rakyat terabai dan mereka mudah terdedah kepada kezaliman. Ini akhirnya akan melahirkan golongan yang menggunakan kedudukan dan kekuasaannya untuk kepentingan diri mereka sendiri seperti perbuatan mengambil hak rakyat, menggunakan kesempatan di atas kelemahan rakyat dan sebagainya.
Ingat mutiara kata daripada Ben Carson: “We’ve been conditioned to thinks that only politicians can solve our problems. Only at some point, maybe we will wake up and recognise that it was politicians who created our problems.”
KOMEN