KUALA LUMPUR – Konsep Rahmatan Lil al-Amin akan diteruskan walaupun gagasan yang dibawa kerajaan itu dipermainkan oleh pelbagai pihak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, beliau hairan apabila konsep itu dipersendakan dengan berbagai-bagai jolokan.
Tegasnya, bagaimanapun beliau akan terus memperjuangkan konsep tersebut seperti yang dituntut dalam Islam.
“Ada orang main-main Rahmatan Lil Kafirin, ada juga sebut Rambutan Lil al-Amin, saya menyatakan anda mungkin membikin orang ketawa kerana memenuhi nafsu supaya kelihatan anda hebat menyatakan semua itu.
“Tapi demi Allah, saya menyatakan saya akan mempertahankan Rahmatan Lil al-Amin seperti mana yang diajar oleh Islam kepada kita,” katanya.
Beliau berucap dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini (13 September).
Mengulas lanjut, Mujahid berkata, terdapat juga beberapa pihak yang mendakwa konsep yang diperkenalkan itu kononnya untuk menjual agama dan menjadi orang suruhan kepada pihak tertentu.
Jelas beliau, konsep tersebut merupakan asas kepada agama Islam dan ia adalah firman Allah khusus untuk Nabi Muhammad SAW.
“Konsep ini untuk kita bangun, bela dan kembalikan maruah negara ini dengan sempurnakan tugas serta tanggungjawab bagi memelihara keamanan, keharmonian dan keadilan tanpa mengira keturunan, kaum, warna dan agama. Itulah versi rahmatan,” katanya. – Utusan Malaysia
KOMEN