PUTRAJAYA: Qari Kelantan, Abdullah Fahmi Che Nor dan qariah Melaka, Suhailah Zulkifly muncul johan sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1439H/2018M yang berlangsung di Kompleks Islam Putrajaya (KIP), malam tadi.
Abdullah Fahmi yang mengumpul 87.50 peratus markah dan Suhailah (84.34 peratus), masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000; sebuah kereta PROTON Ertiga; piala iringan; tambahan wang tunai RM10,000 bagi menunaikan haji.
Kejayaan itu sekali gus melayakkan mereka mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, 7 hingga 12 Mei depan.
Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Dalam pada itu, tempat kedua Tilawah al-Quran dimenangi qari Melaka, Azraie Abd Hak (86.67 peratus) dan qariah Selangor, Nor Ruzana Natiah Jaafar (84 peratus).
Mereka membawa pulang RM10,000 dan tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan Haji; cenderamata dan sijil penyertaan.
Tempat ketiga dimenangi qari dari Perak Dr Anuar Hasin (86.66 peratus) dan qariah Terengganu Norhidayah Abd Rahman (83.66 peratus).
Mereka membawa pulang RM7,500; tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan Haji; cenderamata dan sijil penyertaan.
Sementara itu, bagi kategori hafazan menyaksikan wakil Selangor, Muhammad Amir Ikmal Khairul Anuar, diumumkan johan kategori 1-30 juzuk beserta tafsir lelaki apabila memperoleh 96.36 peratus markah, manakala wanita pula dimenangi Siti Nadhira Mohd Shafie dari Wilayah Persekutuan (96.46 peratus).
Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM15,000; sebuah kereta PERODUA Axia; tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan Haji dan piala iringan.
Bagi kategori 1-20 juzuk lelaki dimenangi Muhammad Dzulfaqor Mohd Zaine dari Perak (98.19 peratus), manakala peserta wanita dimenangi Siti Najihah Zamri dari Negeri Sembilan dengan markah 96.51 peratus.
Bagi kategori 1-10 juzuk beserta taranum lelaki dimenangi Sheikh Muhammad Aiman Hafiy Hishamuddin dari Wilayah Persekutuan (98.74 peratus), manakala wanita dimenangi Siti Nurhidani Mohamad Dun dari Johor dengan markah keseluruhan 98.29 peratus.
Johan keseluruhan Tilawah al-Quran dimenangi Kelantan, manakala Johan keseluruhan menghafaz al-Quran dimenangi wakil Johor. – BERITA HARIAN
KOMEN