ALOR SETAR 10 Jan. – Prihatin terhadap keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja dan belia Islam di negara ini mendorong seorang graduan, Noor Afifaliza Ali, 27, mengabdikan diri kegiatan sukarelawan sejak lapan tahun lalu.
Pembabitannya dalam kerja murni itu tidak bernokhtah apabila nekad menjadi sukarelawan sepenuh masa menerusi persatuan Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) Malaysia sebaik tamat pengajian selama tiga tahun di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada 2013.
Menurut Noor Afifaliza, dia berpegang kepada prinsip amal maaruf nahi mungkar dalam melakukan kerja sukarelawan bagi memastikan golongan remaja dan belia beragama Islam tidak terjerumus dalam kancah gejala sosial.
“Saya mula terbabit dalam sukarelawan ini ketika mengambil jurusan komunikasi di USM dan pada masa sama saya menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sukarelawan seperti Pertubuhan IKRAM Malaysia dan UNGGAS Malaysia. Namun, sebaik bergraduasi pada 2013, saya nekad aktif sepenuh masa menerusi UNGGAS Malaysia yang berpusat di Pulau Pinang hingga kini.
“Saya terdorong dalam kegiatan sukarelawan ini selepas melihat begitu banyak gejala sosial seperti penagihan dadah dan alkohol, zina, rogol, sumbang mahram, kelahiran anak luar nikah yang melanda muda-mudi beragama Islam pada akhir-akhir ini. Kita sebagai insan yang diciptakan Allah SWT ada tugas untuk mencegah kemungkaran dan mengajak kepada kebaikan,” katanya.
Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, motivasinya adalah Rasulullah SAW yang berdakwah dalam menyampaikan kebenaran kepada semua umat.
“Berdasarkan kes yang disalurkan kepada kami, saya amat terkejut melihat remaja pada usia muda sudah terlanjur sehingga melahirkan anak luar nikah. Malah murid sekolah rendah sudah pandai menghidu gam sebagai alat pelepas gian dan itu belum lagi mereka menagih dadah.
“Bagi memastikan golongan ini tidak tergelincir landasan akidahnya lebih teruk lagi, kami akan penuhi jiwa mereka yang kosong itu dengan ilmu dan kasih sayang. Ilmu dimaksudkan adalah penerapan pendidikan kerohanian dengan agama Islam supaya mereka dapat mengenali Allah SWT,” katanya.
Dia berkata, cabaran sentiasa ada dalam usaha dakwahnya bagi menangani gejala sosial kalangan remaja dan belia Islam di negara ini.
“Kami kerap pergi ke ‘port’ lepak golongan remaja dan belia di sekitar kawasan Bagan Ajam seperti di Jalan Pantai Bersih pada malam Hari Kekasih dan juga Tahun Baru dan mengedarkan risalah bahaya gejala sosial,” katanya.- HARIAN METRO
KOMEN