Home » Analitis » Semarak ibadah kurangkan berpolitik

Semarak ibadah kurangkan berpolitik

HARI ini merupakan hari pertama kita berada dalam bulan Ramadan yang penuh barakah. Sebagai umat Islam kita patut bersyukur ke hadrat ALLAH kerana masih memberikan kesempatan kepada kita untuk menikmati Ramadan kali ini, sekali gus memperbanyakkan ibadah yang dijanjikan pahala berganda buat bekalan di akhirat kelak.

Namun, apa yang perlu diketahui dan diperingatkan, Ramadan bukan sahaja bulan yang menyuburkan amalan ibadah khusus seperti puasa, tadarus, tarawih dan qiamullail, malah turut menitikberatkan aspek tarbiah atau latihan bermuamalah seperti berpolitik.

Dengan kata lain, Ramadan bukan sahaja madrasah pengukuhan hubungan antara manusia dengan Penciptanya, tetapi turut menjadi bulan pemerkasaan budaya bermuamalah sesama manusia.

Pelbagai amalan kerohanian dijalankan dalam bulan Ramadan seharusnya mampu mendidik jiwa dan menjana peribadi umat berasaskan nilai-nilai Quranik yang unggul. Nilai-nilai inilah yang seharusnya diterjemahkan ke dalam kehidupan mereka seharian hingga mampu mencipta kejayaan yang cemerlang dan gemilang.

Tempoh sebulan yang penuh barakah di mana para syaitan dibelenggu dan amalan digandakan ganjaran seharusnya dimanfaatkan semaksimum mungkin oleh umat Islam untuk meningkatkan kualiti diri. Namun, ramai juga yang mensia-siakan peluang dan ruang yang diberikan ALLAH ini, sebaliknya meneruskan amalan penyimpangan sebagaimana yang terbudaya dalam diri selama ini.

Salah satu penyimpangan yang penulis dapati begitu mengakar dalam bulan Ramadan kali ini ialah budaya berpolitik. Seolah-olah madrasah Ramadan kali ini bagaikan tidak berjaya menyerap kalbu masyarakat untuk sekurang-kurangnya melakukan ‘gencatan senjata’ daripada berperang politik buat seketika. Mungkin juga disebabkan kehangatan bahang PRU13 yang masih terasa.

Apa yang nyata, tampak tidak ramai yang benar-benar menjiwai falsafah dan kepentingan Ramadan dalam konteks madrasah pemerkasaan iman dan takwa dalam diri mereka. Apa yang lebih menyedihkan apabila berlakunya penyimpangan kefahaman mengenai makna Ramadan hingga sering kali ditanggapi dalam konteks di luar kerangka falsafah dan kefahaman sebenar Ramadan.

Sebab itulah Ramadan yang sepatutnya menjadi madrasah terbaik mencanai keimanan dan ketakwaan dalam diri akhirnya hanya menjadi bulan ritual yang langsung tidak memberkas dalam jiwa mahupun memberi kesan kepada proses pemerkasaan umat. Tidak hairanlah jika ramai umat Islam yang berterusan melakukan perbuatan maksiat yang hanya menghakis nilai keimanan dan ketakwaan, sekali gus melunturkan kekuatan umat Islam ketika ini.

Apa yang lebih menyedihkan melihatkan umat bagai lebih galak bersengketa dan berpolemik. Bulan yang sepatutnya mempertautkan hati-hati manusia berteraskan iman dan takwa akhirnya menjadi bulan adu-domba dan fitnah-memfitnah antara satu sama lain.

Lihat sahajalah realiti iklim politik negara yang semacam belum pulih daripada diserabuti jerebu fitnah dan tohmah yang amat dahsyat hingga menyesakkan nafas dan meloyakan tekak. Ini semua berlaku disebabkan lunturnya nilai iman dan takwa dalam diri hingga menyebabkan batasan syarak tidak lagi menjadi perhitungan utama.

Ada juga yang mengambil kesempatan melalui pelbagai ruang tazkirah dan ceramah Ramadan seperti pertengahan solat Tarawih untuk berkempen politik demi laba dan keuntungan parti-parti tertentu. Akhirnya, Ramadan diharapkan menjadi bulan pemersatu umat menjadi medan tempur yang menjarakkan lagi hubungan sesama Muslim.

Alangkah baiknya jika Ramadan dijadikan bulan bebas fitnah dan persengketaan. Atau setidak-tidaknya setiap kali Ramadan ditangguhkan dulu perbalahan politik atau diisytiharkan sahaja bulan gencatan senjata permusuhan. Ini bagi membolehkan umat kembali memfokuskan kepada usaha peningkatan kualiti diri melalui aktiviti-aktiviti ibadah.

Siapa tahu dalam tempoh sebulan umat menekuni ibadah dengan kesungguhan dan penuh keikhlasan kerana ALLAH akan menghilangkan saki-baki daki-daki yang tersemat dalam diri. Akhirnya mampu meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada ALLAH yang sekali gus menyelesaikan segala kemelut dan persengketaan yang selama ini bagai tiada jalan penyelesaiannya.

Justeru, Ramadan yang penuh barakah seharusnya menjadikan umat Islam manusia lebih hebat, produktif dan cemerlang. Ini kerana umat yang beribadah dalam bulan ini pada hakikatnya terbangun di atas dinamika ketakwaan dan keimanan yang sekali gus dijelmakan dalam kehidupan mereka seharian.

Marilah sama-sama berdoa agar segala ibadah kita di bulan yang penuh keberkatan dan keampunan ini mampu membersihkan hati dan jiwa kita.

DR ASYRAF WAJDI DUSUKI 10 Julai 2013

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *