Home » Analitis » Adakah benar tidak mengundi dalam pilihanraya adalah dosa besar, serta perlu diutamakan mengundi daripada ibadat Haji dan Umrah?

Adakah benar tidak mengundi dalam pilihanraya adalah dosa besar, serta perlu diutamakan mengundi daripada ibadat Haji dan Umrah?

1. Sistem politik demokrasi adalah sistem politik yang asalnya timbul dari peradaban Greco- Roman, ianya sama sekali tidak bersumber daripada ajaran Islam atau dari peradaban Islam.

2. Bahkan kemudiannya, sistem membuang undi menggunakan ballot box , mengikut sebahagian penulis asalnya dari amalan pemilihan ketua paderi dalam Gereja Catholic ( Bishop of Rome).

3. Kita berpegang yang Islam tentunya mempunyai paling kurang ajaran asas bagi sistem pemerintahannya. Tidak munasabah sekiranya politik pemerintahan yang begitu berpusat dan penting dalam Islam – hingga pernah seseorang itu berhukum sesiapa yang berkata “politik suku , agama suku : maka dia jadi kafir “- sekiranya politik Islam itu sekadar menumpang bertenggek pada kerangka politik pilihanraya demokrasi tinggalan penjajah (Lord Reid Comission).

Hairannya walaupun sekadar bertenggek pada sistem tersebut, dengan bangga dan berani mengumumkan tenggekannya itulah politik Islam.

4. Ibadat Haji adalah salah suatu daripada rukun Islam yang lima. Kewajibannya bersandarkan nas dari al-Quran, Sunnah dan Ijma ulama.

عَنْ طَاوُسً أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَلَا تَغْزُو فَقَالَ إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ الْإِسْلَامَ بُنِيَ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَصِيَامِ رَمَضَانَ وَحَجِّ الْبَيْتِ
صحيح مسلم
كتاب
الإيمان باب بيان أركان الإسلام ودعائمه العظام

Daripada Tawus yang meriwayat yang ada seorang lelaki berkata kepada Saiyyidina Abdullah bin Umar Radiyallahu ‘Anhuma : “kenapa tidak engkau berperang”, maka dia berkata : “saya dengar Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda: sesungguhnya Islam dibina di atas lima rukun- syahadah : لا اله الا الله , dan mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat , dan berpuasa Ramadan dan haji di Baitullah”.
(Riwayat Imam Muslim)

5. Saiyyidina Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda “Dan janganlah seorang wanita berpergian kecuali bersama mahramnya.” Lalu ada seseorang yang bertanya kepada beliau, “Ya Rasulullah, aku tercatat untuk ikut serta pergi dalam peperangan tertentu, namun, isteriku hendak menunaikan ibadah haji.”Kemudian Rasulullah menjawab, “Pergilah bersama isterimu untuk haji bersamanya.”(HR. Bukhari, Muslim, dan Ahmad).

Hadith ini tentang perang fisabilillah, perang untuk meninggikan kalimah Allah, bukan mengharapkan imbuhan gaji , elaun, pengaruh peribadi dan jawatan. Peperangan melawan golongan kafir yang mengangkat senjata untuk memerangi Islam.

6. Tidak semua sahabat terlibat dalam politik kekuasaan (termasuk sahabat utama), walaupun politik mereka itu jauh lebih murni daripada politik kita hari ini.

كانَ سَعْدُ بنُ أَبِي وَقَّاصٍ في إبِلِهِ، فَجَاءَهُ ابنُهُ عُمَرُ، فَلَمَّا رَآهُ سَعْدٌ قالَ: أَعُوذُ باللَّهِ مِن شَرِّ هذا الرَّاكِبِ، فَنَزَلَ فَقالَ له: أَنَزَلْتَ في إبِلِكَ وَغَنَمِكَ، وَتَرَكْتَ النَّاسَ يَتَنَازَعُونَ المُلْكَ بيْنَهُمْ؟ فَضَرَبَ سَعْدٌ في صَدْرِهِ، فَقالَ: اسْكُتْ، سَمِعْتُ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ يقولُ: إنَّ اللَّهَ يُحِبُّ العَبْدَ التَّقِيَّ، الغَنِيَّ، الخَفِيَّ.

Sedang Saiyyidina Said bin Abi Waqqas berada bersama unta-untanya, anaknya Umar mendatangi, dan apabila Saiyyidina Saad melihat anaknya, ( menghampirinya) dia berkata; ” aku minta berlindung dengan Allah dari keburukan penunggang ini “. Apabila anaknya turun dari haiwan tunggangannya, anaknya berkata kepadanya: ” engkau berada bersama unta dan kambingmu, dan engkau tinggalkan manusia ramai berselisih tentang urusan pemerintahan di antara mereka?”

Saad memukul dada anaknya seraya berkata: ” diam engkau! aku telah mendengar Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda :”Sesungguhnya Allah kasih kepada hamba yang bertaqwa, kaya ( jiwanya) , tersembunyi”

Syarah kepada hadith Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam:-

«إنَّ اللهَ يُحبُّ العَبدَ التَّقيَّ الغنيَّ الخَفيَّ»،
والتَّقيُّ هُو الآتي بِما يَجبُ عَليه ويَمتثِلُ المأموراتِ، والغَنيُّ هو غَنيُّ النَّفْسِ؛ فصاحِبُ القَناعةِ ورَضِي بما قَسَم اللهُ تَعالَى له ولا يَطلُبُ المُلكَ والإمارةَ، هُو الغَنيُّ ولَيس كَثيرَ المالِ، وهذا هو الغنيُّ المحبوبُ. والخَفيُّ هو الخامِلُ المُنقطِعُ إِلى العِبادةِ والاشتِغالِ بأُمورِ نَفسِه، ولا يُريدُ العُلوَّ ولا الظُّهورَ في مَناصبِ الدُّنيا، فيَبْقى خاملًا، والإشارَةُ بالخَفيِّ إِلى خُمولِ الذِّكْرِ والشُّهرةِ عندَ النَّاسِ، فالغالِبُ عَلى الخاملِ السَّلامَةُ.

“Sesungguhnya Allah kasih kepada hamba yang bertaqwa, kaya ( jiwanya) , tersembunyi( menjauhi khalayak).

Taqwa adalah mendatangi apa-apa yang diwajibkan oleh-Nya, serta mengikut perkara- perkara yang disuruh.

Kekayaan adalah kekayaan jiwa, miliki sifat qanaah, reda dengan pembahagian Allah Taala baginya , tidak menuntut kekuasaan mahupun pemerintahan, kekayaan yang bukannya banyak harta, beginilah kekayaan yang disukai.

Tersembunyi adalah berdiam diri dengan berasing untuk beribadat , dan sibuk dengan urusan peribadinya ( bukan urusan awam), tidak berkehendak kepada pangkat ketinggian atau kemasyhuran di kalangan manusia . Ghalibnya perkara yang tersembunyi itu akan terselamat.

7. Sekiranya kita menerima kenyataan mereka yang mengundi itu hukumnya wajib, tidak mengundi adalah dosa besar – bagaimana pula dengan ahli parlimen yang selepas memenangi pilihanraya kerap tidak hadir sidang Dewan Parlimen tanpa uzur syar’ie, atau hadir di parlimen dengan tidak membuat homework untuk ikut memberi saranan atau kritikan demi kebaikan ummah- apakah perbuatan itu tidak termasuk dalam dosa -dosa besar?

Atau mereka juga berhukum yang ianya dosa yang lebih besar daripada dosa meninggalkan ibadat haji sedangkan dia berkemampuan? Atau dosa itu lebih besar daripada orang yang gagah perkasa lengkap bersenjata serta hadir perang fisabilillah tetapi sekadar memerhati bahkan lelap ketika ummat Islam disembelih teraniaya depan matanya)

8. Apakah hukum orang yang mewajibkan orang ramai untuk mengundi – sedangkan apabila menang tidak berhabis daya bahkan bersikap cuai dan culas dalam menjalankan tanggungjawab di parlimen dan di luar parlimen?

9- Sebelum kita mengata hukum sesuatu itu wajib , atau hukum meninggalkan sesuatu itu sebagai dosa besar, agaknya bermanfaat kita memperingatkan diri kita dengan Firman Allah:

وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَٰذَا حَلَالٌ وَهَٰذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ

“Janganlah kamu berkata dengan apa yang disebut oleh lidah-lidah kamu secara bohong: ” ini halal, dan ini haram”, kamu melakukan pembohongan atas nama Allah. Sesungguhnya mereka yang melakukan pembohongan atas nama Allah – mereka tidak akan berjaya ( di dunia dan di Akhirat)” An-Nahl: 116

10. Seorang yang banyak mengorbankan umurnya untuk berkhidmat untuk Islam dan al-Quran. Tokoh yang mengharungi pelbagai kesusahan dalam usaha dakwahnya, Ustaz Badiuzzaman Said an-Nursi mencatitkan yang pada suatu hari dia mendengar seorang alim telah mencerca seorang alim lain yang memiliki kelebihan dengan penghinaan yang teruk sehingga ke tahap mengkafirkan.

Perkara ini disebabkan perbezaan urusan politik di antara mereka berdua. Tetapi dia telah memuji seorang munafiq yang sama aliran politik dengannnya. Peristiwa ini telah memberi bekas yang dahsyat kepada Ustaz Badiuzzaman , sehingga dia minta perlindungan dengan Allah dari syaitan dan politik:

أعوذ بالله من الشيطان والسياسة.

Ustaz Badiuzzaman juga menyebut Islam mengajar kita supaya kasih dan benci kita kerana Allah, tetapi sekarang ini kasih dan benci sudah menjadi kerana politik.

Semoga Allah menyelamatkan kita dari fitnah seumpama ini.

والله اعلم

Kredit: Zaidi Hassan

Artikel Berkaitan

Tanggapan salah terhadap dialog

Apabila disebut dialog antara agama, sebahagian besar masyarakat Malaysia khususnya orang Islam memandang negatif dan menolak keberadaan mekanisme dialog antara agama di

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *