Pada pagi yang hening 14 April 2025, Malaysia kehilangan seorang tokoh besar—Tun Abdullah Ahmad Badawi, atau lebih mesra disapa “Pak Lah”. Beliau menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, pada usia 85 tahun. Pemergian beliau bukan sahaja diratapi oleh rakyat Malaysia, malah turut mendapat penghormatan dari pemimpin serantau dan antarabangsa.
Tun Abdullah Ahmad Badawi dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Beliau merupakan anak sulung kepada Haji Ahmad Badawi, seorang tokoh agama dan ahli politik. Moyangnya, Sheikh Abdullah Fahim, adalah Mufti pertama Pulau Pinang selepas merdeka dan dikenali sebagai ulama berpengaruh pada zamannya. Didikan agama yang kukuh sejak kecil membentuk keperibadian beliau sebagai pemimpin yang berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam dan kesederhanaan.
Kepimpinan dan Sumbangan Negara
Tun Abdullah memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebelum menyertai politik dan menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas dari 1978 hingga 2008. Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003, menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Dalam tempoh pentadbirannya sehingga 3 April 2009. Beliau dikenali sebagai pemimpin yang tenang, berjiwa rakyat, dan berprinsip sederhana.
Antara sumbangan besar beliau adalah memperkenalkan konsep Islam Hadhari, yang menekankan pembangunan bersepadu antara rohani dan jasmani, serta menolak ekstremisme. Konsep ini bertujuan menjadikan Malaysia sebagai negara Islam contoh yang progresif dan moden.
Di samping itu, salah satu legasi penting Tun Abdullah dalam bidang pendidikan Islam ialah pelaksanaan Program J-QAF (Jawi, al-Quran, Arab, Fardu Ain) yang diperkenalkan pada tahun 2004. Program ini bertujuan memperkukuh pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam di sekolah rendah dengan memastikan murid dapat menguasai tulisan Jawi, membaca dan menghafaz al-Quran, serta memahami asas-asas Fardu Ain dan bahasa Arab.
Selain itu, Pelan Integriti Nasional (PIN) merupakan antara legasi penting yang ditinggalkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima. Dilancarkan pada 23 April 2004, PIN bertujuan untuk membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang berintegriti tinggi, beretika, dan bermoral, selaras dengan cabaran keempat Wawasan 2020.
Pak Lah juga berusaha memperkuatkan hubungan Malaysia dengan negara-negara lain. Beliau menjalinkan hubungan yang baik dengan negara-negara ASEAN, Timur Tengah, dan China. Beliau juga memainkan peranan penting dalam mempromosikan perdamaian dan kerjasama antara negara-negara Islam. Ketika menyandang jawatan Perdana Menteri, beliau juga mempengerusikan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), badan NGO kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Bahkan, ramai yang mengatakan OIC jadi lebih menyerlah ketika pentadbiran Pak Lah;
“Semasa Pak Lah menjadi perdana menteri, OIC begitu menyerlah. Memang betul, itu tidak dapat dinafikan. Bukan sahaja kerana kepimpinan Pak Lah, tetapi juga kerana kerjasama erat dengan pemimpin negara-negara Islam lain yang memberi kekuatan kepada pertubuhan itu,” kata Felo Majlis Profesor Negara Prof Dr Azmi Hassan, semasa temu bual bersama program khas Belasungkawa Tun Abdullah Ahmad Badawi di Radio Bernama.
Legasi dan Kenangan
Tun Abdullah dikenang sebagai “Mr. Clean” dan “Mr. Nice Guy” kerana integriti dan pendekatan mesra rakyatnya. Beliau telah diberikan gelaran “Bapa Pembangunan Modal Insan” oleh rakyat Malaysia. Gelaran ini mencerminkan komitmen beliau dalam memperkukuh pembangunan sumber manusia negara melalui pendidikan, etika, dan nilai-nilai moral yang tinggi.
Pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggalkan kekosongan dalam landskap politik Malaysia. Namun, nilai-nilai dan prinsip yang beliau pegang teguh akan terus menjadi panduan bagi generasi akan datang dalam membina negara yang adil, progresif, dan berteraskan nilai-nilai Islam.
KOMEN