Home » Analitis » Perginya negarawan yang mengangkat martabat petani dan rakyat

Perginya negarawan yang mengangkat martabat petani dan rakyat

Seorang negarawan ialah seorang pemimpin yang meninggalkan jasa besar kepada negara. Semasa hayatnya sebagai pemimpin, seorang negarawan tidak membentuk lingkaran penentu ekonomi yang berpihak kepada orang-orang tertentu, yang kita kenali sebagai crony-capitalism.
Seorang negarawan memutuskan dasar atau haluan pentadbiran dan melaksanakan apa yang difikirkan itu adalah dengan tujuan membawa rakyat kebanyakan atau kelompok yang tertinggal (marginalised) kepada suatu keadaan yang lebih baik, menjadi sebahagian daripada sumber pertumbuhan ekonomi negara.
Bagi rakyat, digubal sebuah dasar yang cukup menyeluruh berdasarkan prinsip “sediakan kail” dan bukannya “memberikan ikan” agar dengan kail itu, rakyat mendapat kemahiran memancing dan seterusnya berusaha meningkatkan hasil pendapatannya dengan teknik, kaedah dan pengetahuan “memancing” lebih baik.
Rumusan itu menggandakan hasrat dan iltizam Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang sejak sebelumnya lebih dikenali dengan panggilan mesra Pak Lah. Saya mula berkenalan secara peribadi dengan Pak Lah pada penghujung tahun 1986, yang akhirnya membawa kepada detik-detik indah yang kekal dalam sejarah peribadi saya.
Ia berlaku secara kebetulan dan juga kerana tugas saya sebagai Pegawai Perhubungan Akhbar (Press Liassion Officer) kepada YBM Menteri Perdagangan dan Industri ketika itu, Tengku Razaleigh Hamzah. Bulan Februari 1986, saya mula menjenguk bangunan kerajaan di Jalan Duta itu, yang kini menjadi ibu pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Pada awal tahun 1987, saya sedar ada suatu usaha untuk merebut jawatan tertinggi dalam kepimpinan UMNO pusat, daripada beberapa orang pemimpin akar umbi yang hadir meminta agar Tengku Razaleigh bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan yang akan berlangsung bulan Februari 1987.
Waktu itu, saya belum pun mengenali Pak Lah, kecuali dengan hanya membaca laporan akhbar, cerita kawan-kawan dan segala bari mengenainya yang cukup hebat, misalnya walaupun cuba dikembirikan oleh Dr Mahathir sebagai Menteri Luar, prestasinya dalam pertandingan jawatan kedua tertinggi tetap mendapat sokongan besar daripada perwakilan UMNO.
Apa yang menjadikan saya sedikit faham mengenai budaya politik “orang yang berkuasa” ialah apabila kompleks bangunan UMNO yang besar dan cukup megah itu – Putra World Trade Center (PWTC) – dirasmikan, mereka mengetepikan Tengku Razaleigh yang cukup besar peranannya sehingga bangunan itu menjadi kenyataan. kini PWTC sudah hilang Putra, yang tinggal hanya World Trade Center (WTC), selepas BN kalah pada PRU ke-14 (2018), yang mungkin takut dianggap bermasalah pada pemahaman kesetaraan gender.
Apa yang dimusykilkan oleh saya ketika itu, bagaimana Dr Mahathir dan sekutunya boleh meminggirkan Tengku Razaleigh, bekas Bendahari UMNO yang bukan sahaja mencari dana pembinaannya, bahkan turut menderma sebahagian tanah yang menjadi tapak PWTC itu. Saya tidak tahu berapa nilainya jika dikira sebagai sumbangan.
Kalau tidak silap saya, saya mula menjadi dekat dengan Pak Lah ialah selepas suatu perhimpunan yang diadakan di Gong Kapas, Kuala Terengganu yang cukup menjadi sejarah dan penentu kepada usaha mencabar kepimpinan Dr Mahathir.
Pada perhimpunan tersebut, Pak Lah seperti memberi amaran kepada Tengku Razaleigh agar “tidak main-main” atau acah-acah. Kata Pak Lah di hadapan khalayak ketika itu, jika Ku Li berundur “saya akan tembak dari belakang.” Tidak cukup dengan itu, Datuk Rais Yatim pula memberitahu, seolah-olah untuk lari ke hadapan, Tengku Razaleigh tidak mudah, cukup besar halangannya, “jambatan telah dibakar”.
Kemudian beberapa perhimpunan selanjutnya diadakan di beberapa tempat, termasuk satu perhimpunan yang diadakan di Hotel Shangri-la (kini Traveller Hotel) , yang bersambung dengan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR).
Berlaku sedikit “sabotaj” apabila diawal perjumpaan tersebut ada gangguan elektrik, namun ia terus berlangsung. Sebelum perhimpunan berlangsung, Pak Lah dan beberapa orang lagi menumpang di bilik saya, sementara Ku Li sedang berehat dan melayani beberapa orang pemimpin UMNO yang dipanggil satu kem.
Kami berbual-bual, dan salah satu nasihat Pak Lah yang saya cukup ingat ialah “you do what you have to do” dan jangan takut dengan gertakan dan cubaan tertentu. Awalnya saya tidak faham, saya terus bertanya Pak Lah. Jawab Pak Lah, akan ada pihak yang akan mencari rahsia daripada kamu yang sentiasa ikut Ku Li ketika kempen ini berlangsung.
Saya sedikit faham. Kemudian saya menjadi semakin faham apabila Dr Malek Hanapiah (ketika itu masih pensyarah di UPM) melatari nasihat buat saya, memandangkan saya ketika itu belum berpengalaman perihal selok belok politik, dan masih muda (umur 30 tahun), penjawat awam (lapor diri Mei 1982) dan masih belum memahami makna politik secara amali walaupun sedikit sebanyak memahami nya secara teori (kebetulan, saya membuat pengkhususan kedua dalam bidang sains politik).
Dalam dua bulan itu (Januari dan Februari 1987), kami benar-benar sibuk dan kadangkala tidak ketentuan pulang ke rumah. Ada keadaan, tinggalkan beg pakaian di bilik hotel Airtel (Hotel Airport Subang), pagi bertolak menaiki pesawat ke Kota Bharu, tengah hari balik ke Subang dan petang ke Pulau Pinang, atau Johor Bahru, atau sebagainya. Kami sewa bilik hanya untuk mandi, tukar pakaian dan berehat seketika sebelum menyambung perjalanan kempen seterusnya.
Saya tidak berkempen, tetapi tugas saya ialah melayani pihak media dan memberikan sedikit input kepada Ku Li berhubung dengan media dan program selanjutnya
Namun, selepas pertandingan yang bersejarah itu, Team B tewas: Ku Li kalah, Dr Mahathir kekal sebagai Presiden UMNO; Musa Hitam gagal pertahankan jawatan timbalan Presiden, Tun Ghafar menang. Pada malam pengiraan undi, terjadi sedikit kekecohan, khabarnya berlaku “black out”.
Saya ketika itu berada di Grey Willow, sebuah pejabat yang jadi sebahagian pusat gerak kerja kempen. Ianya terletak di sebuah bangunan di belakang Hotel Shangri-La, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Sebuah bangunan yang sekarang ini berhadapan dengan Menara Kuala Lumpur. Saya tidak pasti, sekarang ini sana ada bangunan itu masih ada yang sudah tinggal sebagai sejarah. Apa yang saya tahu, selain megahnya kondo mewah, ada sebuah hotel baharu di situ, hotel butik yang bernama Hotel Indigo.
Menariknya, setelah Team B tewas, Pak Lah tidak menyertai parti Melayu Semangat 46, terus kekal bersama UMNO. Setelah usaha menyingkirkan Tun Ghafar Baba bermula, Pak Lah terus mendapat perhatian dalam khemah UMNO yang sudah berpecah.
Pak Lah tenang berhadapan dengan situasi sedemikian, walaupun ada rakan-rakan melihat seperti dipulaukan, dengan rendah diri Pak Lah membina semula kekuatan politiknya, akhirnya setelah terbubarnya Semangat 46, menyertai kembali UMNO, Pak Lah menerima semula semangat bersama, dan terus menerajui kepimpinan politik, apabila Anwar tersingikir pada tahun 1998.
Pada suatu ketika, sebelum perebutan kuasa dalam UMNO, Pak Lah banyak membantu Dr Mahathir dalam melakarkan dasar pemantapan diri dan pembaharuan iltizam penjawat awam. Ketika Dr Mahathir memperkenalkan slogan Bersih, Cekap dan Amanah (BCA), Pak Lah (sebagai Menteri di JPM) kental semangat untuk menjelaskan kepada penjawat awam agar melihat kerangka itu sebagai kerangka yang hampir dengan matlamat Islam, dan seterusnya mencetuskan pula apa yang diperkenalkan sebagai Kepimpinan Melalui Teladan.
Pada tahun 2003, Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Dalam masa peralihan itu, Pak Lah tidak mengambil masa yang lama untuk membuktikan pengarah politiknya, laku disahkan dengan Pilihan Raya Umum ke-11 (2004). Di bawah kepimpinannya, BN dan UMNO mencapai prestasi terbaik, malah jika dikira daripada pencapaian Dr Mahathir sendiri, Pak Lah lebih cemerlang.
Pak Lah digelar “Mr Clean”, BN menang 198 daripada 219 kerusi yang dipertandingkan (90.4 peratus, PRU ke-11). BN berjaya menjatuhkan kerajaan PAS di Terengganu walaupun gagal merampas Kelantan. Ia adalah lebih cemerlang daripada pencapaian Dr Mahathir pada peringkat awal iaitu 85.71 peratus (132 daripada 154 kerusi pada PRU ke-6, 1982) dan PRU terakhirnya, PRU ke- 10 (1999, ) yang memperlihatkan kekalahan BN di Terengganu. Juga lebih besar ketika BN pertama kali terbentuk, yakni semasa PAS dan Gerakan bersatu dengan Perikatan dalam PRU ke-4 (1974, BN menang 135 daripada 154 kerusi Parlimen).
Ungkapan epiknya ialah “bekerjalah bersama-sama saya” bukan “bekerja untuk saya” atau “kerana saya.” Sederhana sekali ungkapan itu, tetapi makna dan hasratnya cukup besar, mendalam dan luhur.
Kedudukan kuasa politik PAS ketika itu ibarat “telur di hujung tanduk” dan Tok Pa (Datuk Mustapha Mohamed) diletakkan pada mood stand-by untuk mengambil alih pucuk pimpinan pentadbiran Kelantan. Namun, usaha itu tidak berjaya, Pak lah terus dijadikan kambing hitam oleh strategi kempen PAS sehingga PRU ke-12 (2008), prestasi PAS lebih besar dan sukar digugat oleh UMNO/BN.
Sebaik sahaja Pak Lah mengambil alih kuasa sebagai PM ke-5, beliau memperkenalkan kerangka pentadbiran yang menyebabkan PAS sedikit cemas. Pak Lah memperkenalkan kerangka pentadbirannya dengan istilah Islam Hadhari, namun istilah itu terus dipertikaikan oleh kepimpinan PAS.
Ia dilihat sebagai istilah yang tidak tepat dengan ciri-ciri tatabahasa Arab, yang sepatutnya dinamakan Hadhari Islam. Untuk melumpuhkan slogan tersebut, Presiden PAS, Haji Hadi Awang membuat serangan besar-besaran, dan seterusnya menganggapnya sebagai satu lagi serpihan ajaran Islam, seolah-olah pendekatan tersebut adalah sesat dan tidak berdasarkan syariat Islam sebenar.
Sebelumnya, Haji Hadi pernah menyerang Pak Lah ekoran tindakan kerajaan mengawal wabak JE terhadap ternakan khinzir yang berlaku di Bukit Pelandok, Port Dickson dan beberapa tempat yang lain (1998-1999). Oleh kerana arahan untuk melakukan pembasmian terhadap penyakit tersebut, Haji Hadi menyindir: Badwi di Arab Saudi jaga unta, tapi Badawi di Malaysia jaga khinzir”. Bagi rakyat Malaysia, kecaman dan sindiran tersebut tidak boleh dimaafkan. ketika itu, Pak Lah adalah Menteri Luar Negeri (1991-1999), yang kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (Januari 1999- Oktober 2003) dan merangkap Menteri Dalam Negeri, iaitu selepas Anwar Ibrahim dipecat (1998).
Pada saya, serangan itu cukup bermotifkan politik kerana Haji Hadi kecewa dengan kekalahan PAS di Terengganu. Idris Jusoh yang mengepalai Gelombang Biru di Terengganu pada era pentadbiran Haji Hadi benar-benar membuat PAS “muntah hijau”. Kejayaan itu membawa kepada gerakan “Tamadun Baru Bermula Di sini”. Maksudnya, Terengganu sedang membina sebuah peradaban besar setelah Gelombang Biru berjaya mengatasi pengaruh PAS ketika itu, yakni sebelum politik Terengganu bergolak pada awal tahun 2008.
Kekalahan PAS tersebut menjadikan Haji Hadi sebagai MB sepenggal, dan memberikan kesan hubungannya dengan MB Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang terus kekal membawa PAS terus gemilang dan UMNO berkali-kali kecundang.
Imej yang terlekat pada masyarakat umum ialah Haji Hadi hanya mampu berkuasa dalam parti dan tidak mampu menjadi seorang pentadbir yang baik. Banyak perkara yang dilakukannya di Terengganu menjadi ejekan, kritikan dan kecaman oleh rakyat Terengganu sehingga disinonimkan dengan “suka tidur” semasa DUN bersidang.
Semasa Haji Hadi adalah MB, muncul skandal yang membabitkan seorang pemimpin kanan PAS Terengganu, yang juga seorang pemimpin PAS pusat. Akhirnya, tokoh itu direhatkan.
Pak Lah menjadikan Terengganu sebagai “ayam emas”; Terengganu muncul sebagai sebuah negeri yang paling banyak diberikan perhatian. Bagi mencabar budaya hidup kelaziman masyarakat,
Pak Lah memperkenalkan suatu temasya sukan ketika masyarakat pada umumnya tidak aktif semasa musim tengkujuh. Pak lah memperkenalkan Monsun Cup, perlumbaan perahu layar di Muara Sungai Terengganu, dan Pulau Duyong mula menjadi perhatian masyarakat Malaysia dan luar negara.
Pak Lah turut berusaha mencarikkan pesisir pantai Terengganu dengan merancang pembangunan bandar pesisir air manakala Pulau Wan Man yang hanya menjadi persinggahan para nelayan semasa berteduh daripada angin Timur Laut dibangunkan dengan Taman Tamadun Islam, dan Masjid Kristal.
Pada masa ini, jika berkunjung Terengganu, Jambatan Angkat menjadi petanda mengesahkan kunjungan anda, dan sebelumnya, Taman Tamadun Islam.
Menariknya lagi, Terengganu mempunyai tiga buah universiti penuh – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Darul Iman (UDIM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT)-selain dua cawangan UiTM (Dungun dan al-Muktafi Billah, Bukit Besi) dan pada tahun 20O6, menjadi lokasi sambutan hari Kebangsaan ke-49. Ia dilakukan dengan pentas utama berada di dalam air, pesisir pantai Pulau Kambing.
Saya cukup mengingati Pak Lah ketika beliau cukup kerap turun ke Terengganu kerana ketika itu saya bertugas di sana (2004-2007). Setelah saya kembali semula bertugas di Kuala Lumpur, suasana politik negara cukup kecoh apabila Dr Mahathir yang “bersara” kembali memperkatakan hal yang tidak disetujuinya terhadap penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi.
Kekecohan itulah membawa kepada prestasi BN menjadi semakin hilang sentuhan kerana setiap hari Dr Mahathir dan konco-konconya menyerang “budak tingkat empat” yang dikatakan cukup berkuasa berbanding Pak alah sendiri sebagai PM.
Ketika itu, Pak Lah diibaratkan “hilang dalam peralihan (lost in transition)” ekoran isterinya, Datin Seri (Tun) Endon Mahmud Ambak menerima rawatan kanser dan situasi ini menjadi semakin “gawat” selepas isterinya meninggal dunia (2005).
Pak lah berkahwin sekali lagi, dengan Jeanne Abdullah. Jeanne terus menjadi teman hidup sehinggalah Pak Lah disahkan meninggal pada 14 April 2025 di Institut Jantung Negara akibat sesak nafas. Tun Abdullah Ahmad Badawi selesai disemadikan di Makam Pahlawan sekitar jam 2.30 petang 15 April 2025.
Tun Abdullah lahir pada 26 November 1939 di Pulai Pinang. Sekian Kepala Batas, nama Pak Lah cukup dikenali oleh masyarakat Kg Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Pak Lah lahir di Kg Perlis, Bayan Lepas. antara Kg Perlis dan Kg Seronok, sekitar 1 kilometer atau bersebelahan.
Bagi penduduk Pulau Pinang, ada tiga projek yang mengingatkan mereka kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi. pertama ialah Jambatan Kedua yang merentasi Selat Melaka dari Juru ke Batu Maung. Kedua, bandar Acadia yang dibangunkan di sekitar Jalan Masuk ke Jambatan Kedua, yang kini menjadi lokasi Ikea dan sejumlah kilang. Ketiga, paling dikenang ialah berjaya menukarkan pekan Kepala Batas daripada sebuah pekan koboi menjadi sebuah pekan moden yang cukup tersusun dan indah, termasuk munculnya sebuah petempatan termoden di Bertam. Di sini terletak Masjid Abdullah Fahim, Dewan Mileinium dan Kolej Matrikulasi.
Tun Abdullah akan dikenang sebagai tokoh dan negarawan yang cuba meningkatkan masyarakat tani dan rakyat biasa. Masyarakat tani dibina dan dipupuk semangat usahawan dengan meletakkan asas Pertanian Adalah Perniagaan, yang secara tidak langsung cuba mendefinisikan semula asas ekonomi negara, yang pada zaman Dr Mahathir sangat memberikan tumpuan kepada pembangunan industri berat dan projek mega.
Akibat penekanan kepada sektor industri menjadikan ekonomi Melayu semakin terpinggir, manakala crony-capitalism terus membesar, apatah lagi bila diperkenalkan Dasar Penswastaan dan Persyarikatan Malaysia.
Dalam menjayakan iltizam tersebut, setiap tahun diadakan Pameran Pertanian dan Hortikultur Malaysia (MAHA) setiap tahun di Serdang, Selangor. Hingga kini legasi itu berlangsung dan menjadi medan penjualan anak benih, baka haiwan ternakan, kemajuan penyelidik pertanian dan teknik pertanian serta pengurusan terbaik.
Bagi masyarakat awam, termasuk generasi muda, Pak Lah cukup komprehensif dalam pembentukan dasar Pembangunan Modal Insan (PMI),yang mana orientasinya lebih luas daripada makna Pembangunan Sumber Manusia (HRD). Daripada dasar itu, kita diperkenalkan dengan konsep “towering personality”, personaliti yang hebat yang lengkap dan memenuhi nilai-nilai moral, etika dan agama.
PMI mengambil pendekatan dengan memupuk semangat agama dan moral manakala HRD lebih menekankan persoalan prestasi, output dan kejayaan organisasi yang kadangkala memaksa manusia secara psikologi dan budaya birokasi “the boss always right”.
PMI menekankan pekerjaan sebagai ibadah dan tanggungjawab yang tidak boleh dipersendakan, yang berfokuskan outcome dan keinsanan. Pak Lah juga dikenang oleh penjawat awam kerana pernah menaikkan gaji sebanyak 13 peratus sedangkan masa Dr Mahathir, skim perjawatan mengalami penjumudan dan cadangan untuk diperkecilkan saiznya.
Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal ketika berusia 85 tahun dan selepas meninggalkan jawatan sebagai PM ke-5 {31 Oktober 2003-3 April 2009), terus tidak aktif berpolitik sehinggalah ke akhir hayat. Pak Lah benar-benar mencari “damai di hati” kerana beliau sedar itulah resepi sebenar yang menjadi laluan ke “negeri abadi” sebagaimana kita banyak belajar daripada amalan dan pemikiran ilmuan Islam tersohor, Iman Al-Ghazali (1058-1111).
Pada suatu ketika, Pak Lah turut memberikan nasihat kepada saya dengan berkata: apa yang kita dapat hari ini adalah apa yang akan menjadi takaran di hari akhirat. Pada awalnya saya kurang faham, tetapi setelah disyorkan membaca Kimiya-el Saadat, yang disebut oleh Allahyarham Datuk Fatah (kawan rapat dan setiausaha politik Pak Lah), saya cukup memahami maksudnya.
Datuk Fatah memberikan tajuk itu, tetapi saya tidak mampu membacanya dalam bahasa asal (Arab), maka saya mula mencari versi terjemahannya, dari dalam bentuk ringkas, adaptasi hinggalah saya mendapat versi terjemahan bahasa Melayu, Ramuan Kebahagiaan (terbitan IBDE, 2024) dan hingga kini tidak jemu mengulangi pembacaannya.
Semakin banyak kali membaca ulang, semakin banyak makna yang dapat saya dapat, dan tentunya, ia akan mengingatkan saya kepada Pak Lah, nasihatnya ketika berbual santai pada suatu petang di PWTC sebelum pemilihan UMNO 1987.
Legasi Pak Lah sebagai negarawan, bapa pembangunan modal insan, peletak asas pertanian sebagai perniagaan, pendekatan politik sederhana dan humanis akan kekal selama-lama dalam sejarah politik Malaysia.
Selamat ke “Negeri Abadi” buat Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang saya kenali dan akan terpahat teguh dalam pengalaman peribadi, sebagai penjawat awam dan rakyat biasa: ada interaksi langsung walaupun tidak lama dan rasa hormat kerana tidak “campur tangan” selepas meninggalkan politik dan mencari “damai abadi”.
Sesuatu yang cukup terpahat dalam pemikiran rakyat Malaysia ialah apabila Pak Lah meningkat budaya penyelenggaraan dan penggunaan berhemah “kita mempunyai infrastruktur dunia pertama, tetapi mentaliti kita masih dunia ketiga.” Sebahagian kita menggunakan infrastruktur secara kasar dan tidak bertanggungjawab manakala agensi kerajaan kurang rencana penyelenggaraan, maka infrastruktur yang cantik, mahal dan besar itu tidak kekal lama, rosak dan akhirnya ditinggalkan seumpama tempat berhantu.
Al-Fatihah
Sumber: FB Abdul Kahar Harun

Artikel Berkaitan

Tanggapan salah terhadap dialog

Apabila disebut dialog antara agama, sebahagian besar masyarakat Malaysia khususnya orang Islam memandang negatif dan menolak keberadaan mekanisme dialog antara agama di

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *