Kuala Lumpur: Pemilik akaun Facebook (FB) ‘Prem Esaan’ yang memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam ditahan di Johor, hari ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) di Taman Johor Jaya, Johor Bahru, jam 2.30 petang.
“Telefon bimbit suspek turut dirampas bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya kepada Harian Metro.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, polis membuka kertas siasatan ke atas pemilik akaun FB Prem Esaan yang memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam.
Dalam hantarannya, pemilik akaun terbabit membuat kenyataan berunsur penghinaan ke atas umat Islam dan al-Quran dan ia mengandungi unsur yang boleh mencetuskan kemarahan umat Islam di Malaysia selain mendatangkan kegusaran awam.
KOMEN