Home » Langit Terbuka » Bukan ajaran Islam, kata Na’im berkait lelaki ditampar makan ketika Ramadan

Bukan ajaran Islam, kata Na’im berkait lelaki ditampar makan ketika Ramadan

Tangkap layar video tular menunjukkan suspek kejadian seorang lelaki didakwa ditampar kerana makan di sebuah kedai serbaneka di Johor Bahru semalam.
PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata tindakan seorang lelaki menampar individu bukan Muslim kerana makan ketika Ramadan di sebuah kedai serbaneka di Johor Bahru semalam tidak mencerminkan ajaran Islam sebenar.

Na’im berkata orang Islam harus mengamalkan ‘tabayyun’ iaitu menyelidik sebelum bertindak dalam menjaga keharmonian masyarakat.

“Islam mengajar kita untuk bersikap sabar, berakhlak mulia, dan menghormati hak setiap individu, terutama dalam masyarakat berbilang kaum.

“Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mengawal emosi dan menjaga hubungan sesama manusia,” katanya di Facebook.

Beliau juga menyeru semua umat Islam agar mengamalkan sikap sabar, berfikiran terbuka, dan menyelesaikan perbezaan dengan hikmah serta menggunakan saluran yang betul.

Terdahulu, Ketua Polis Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh berkata pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang berusia 21 tahun pada 9.08 malam semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 3.45 petang semalam. Dalam insiden itu, pengadu mendakwa dirinya ditampar sebanyak dua kali pada pipi sebelah kanan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

“Kejadian dipercayai berpunca apabila lelaki tersebut bertanya tentang agama pengadu dan meminta MyKadnya namun pengadu enggan memberikan kad tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *