Home » Langit Terbuka » Menteri Agama beri jaminan individu hina Islam berdepan tindakan tegas

Menteri Agama beri jaminan individu hina Islam berdepan tindakan tegas

PENDANG: Sebarang bentuk penghinaan terhadap Islam tidak akan dibiarkan seiring dengan ajaran agama itu yang turut melarang perbuatan menghina agama lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi memastikan kes penghinaan terhadap Islam dibawa ke muka pengadilan.

“JAKIM bersama MCMC dan PDRM akan bekerjasama dalam memastikan tindakan tegas diambil terhadap sebarang penghinaan kepada Islam.

“Mana-mana pihak yang mencetuskan ketegangan atau ketidaktenteraman dalam negara akibat penghinaan agama akan dikenakan tindakan tegas. Perdana Menteri juga menegaskan bahawa dalam konteks penguatkuasaan perlu dibuat tak kira menghina agama mana sekali pun.

“Jadi masyarakat Islam juga diingatkan untuk merenungi ayat al-Quran yang menegaskan larangan menghina agama lain kerana ia boleh mencetuskan tindak balas negatif terhadap Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Ziarah Santun Asatizah Du’at Al-Falah dan Berbuka Puasa sempena Lawatan Rasmi keKedah di Pondok Sungai Jagong, di sini, malam tadi.

Mohd Na’im berkata dalam usaha membina perpaduan, masyarakat Islam dan bukan Islam diajak bersama-sama mengekalkan keharmonian.

Beliau mengingatkan sebarang kekecohan akibat penghinaan agama tidak akan menguntungkan sesiapa kerana ia hanya akan memberi kesan buruk kepada negara.

“Kita bimbang ada segelintir yang cuba nak mengambil peluang menimbulkan kekecohan dan keseteruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Terdahulu Mohd Na’im menyerahkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM365,000 kepada pondok berkenaan, asatizah dan warga emas serta asnaf daripada Yayasan Taqwa MAIWP.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *