JERANTUT: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan terhadap individu yang semakin berani mencabar dan memperlekeh kesucian Islam.
Baginda menegaskan, umat Islam tidak boleh berdiam diri apabila agama dihina, sebaliknya perlu bangkit mempertahankannya dengan hikmah dan kebijaksanaan.
“Saya amat berdukacita melihat masih ada pihak yang meremehkan Islam, seolah-olah tiada batasan dalam berbicara dan bertindak. Adakah ini erti sebenar kemerdekaan, atau sekadar merdeka pada angka tetapi tidak pada minda rakyatnya?” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan memasyhurkan nama Masjid Abdul Rahman Ibn Auf di Kampung Durian Hijau, malam ini.
Sultan Pahang turut mengingatkan bahawa sifat toleransi umat Islam tidak boleh disalah tafsir sebagai kelemahan sehingga memberi ruang kepada pihak tertentu untuk memperlekeh agama sesuka hati.
“Islam tidak pernah mengajar kita tunduk kepada penghinaan dan penindasan. Saya menyeru setiap Muslim agar memainkan peranan mempertahankan kesucian agama ini,” titah baginda lagi.
Baginda menegaskan bahawa mempertahankan Islam adalah tanggungjawab setiap umatnya, tanpa mengira pangkat, kedudukan atau latar belakang.
Dalam masa yang sama, baginda mengulangi komitmen Pahang dalam menjaga keharmonian antara agama, dengan menegaskan bahawa kebebasan beragama tetap terpelihara selagi tidak menggugat ketenteraman awam.
“Dalam kebijaksanaan dan keadilan pemerintahan, agama-agama lain diberi ruang untuk diamalkan dengan aman dan damai. Selagi mana ia tidak menggugat ketenteraman awam dan keharmonian negeri, selagi itulah hak setiap penganut terpelihara,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan bahawa dalam masyarakat majmuk, nilai hormat-menghormati dan kesedaran menjaga sensitiviti agama adalah kunci kepada kestabilan dan kesejahteraan negeri.
KOMEN