HARI-Hari terakhir cuti sekolah dimanfaatkan Sukarelawan YADIM (SAY) Kuala Langat dengan terlibat dalam penganjuran Kem Cuti Sekolah Ayyuhal Walad pada 14 dan 15 Februari di Surau Haji Mansur Sijangkang.
Program anjuran bersama Biro Dakwah dan Exco Kebajikan surau berkenaan telah disertai seramai 100 peserta terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Kampung Sijangkang.
Program ini bertujuan menanam disiplin, kepentingan menepati masa serta melatih peserta menjadi berjiwa Madani dan cinta kepada ilmu agama.
Hari pertama program diisi dengan pembentukan kumpulan, kelas tajwid serta pertandingan Azan bagi peserta lelaki.
Seterusnya pada hari kedua para peserta didedahkan slot aplikasi digital untuk mencipta sendiri kandungan untuk media sosial dan menerbitkan buku digital oleh Encik Hairul Izat Harun, tenaga pengajar dari Kolej Matrikulasi Banting.
Daie Muda YADIM (DMY) Khairul Anwar Misnan pula telah dijemput dan bertanggungjawab mengendalikan sesi latihan dalam kumpulan bagi mengasah semangat bekerjasama.
Hadir sama dalam program ini ialah Ketua Koordinator SAY Kuala Langat, Haji Hasmawi Mahidin serta ahli jawatankuasanya,Pengerusi Surau Haji Mansur, Haji Yusri Ahmad , Timbalannya, Ustaz Husnaini Mongin, DMY Amirul Annam serta barisan Ahli Jawatankuasa Biro Dakwah dan Exco Kebajikan Surau Haji Mansur.
KOMEN