PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memperluaskan usaha melahirkan generasi huffaz cilik dengan menubuhkan 4,000 kelas TABIKA Pra Tahfiz membabitkan 60,000 kanak-kanak di seluruh negara tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penubuhan kelas terbabit adalah sebagai komitmen kerajaan dalam memastikan pendidikan al-Quran terus menjadi tunjang membina generasi pewaris negara yang berakhlak, berilmu dan berdaya saing.
“Pada 2023, KEMAS melakukan langkah proaktif dengan menjadikan pendidikan al-Quran sebagai teras utama dalam pembentukan kanak-kanak Islam di TABIKA KEMAS,
“Dan matlamatnya jelas melahirkan generasi huffaz cilik yang bukan sahaja menguasai hafazan al-Quran bagi surah-surah dalam Juzuk Amma, tetapi juga memahami adab dan tadabbur dalam kehidupan mereka.
“Usaha ini bermula dengan pelaksanaan rintis di 100 TABIKA KEMAS, membabitkan 1,500 kanak-kanak.
“Dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan sehingga pada tahun 2024, penyertaan meningkat kepada 55,269 kanak-kanak,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penyertaan yang ramai itu membuktikan masyarakat menyambut baik usaha KEMAS untuk memperkukuhkan nilai Islam dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak negara.
Bagaimanapun, beliau berkata, kejayaan pendidikan semata-mata tidak mencukupi dan kerajaan perlu berani melangkah lebih jauh dengan memastikan setiap program pembangunan komuniti berjalan secara lebih strategik serta tersusun.
“Tahun ini, selepas KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) merangka satu hala tuju baharu, KEMAS akan turut mengukuhkan pendekatan yang bukan sahaja merentas semua bahagian dalaman KEMAS tetapi juga menggabungkan kepakaran pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan swasta.
“Sebagai sebahagian daripada transformasi ini, KEMAS akan merombak struktur program utama seperti Hari POTENSI TABIKA KEMAS, Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS), Festival Kesenian Islam (iFest) dan program lain, akan disatukan di bawah satu program utama yang dikenali sebagai Festival KEMAS (FESMA),” katanya.
Ahmad Zahid berkata langkah itu bukan sahaja dapat mengurangkan kos operasi seperti logistik, penyewaan dan tenaga kerja, malah meningkatkan keberkesanan dan kesepaduan program yang dilaksanakan.
Katanya, anjakan itu adalah strategi konkrit untuk memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak dan memberdayakan masyarakat desa.
“Saya yakin dengan langkah strategik ini, KEMAS akan terus menjadi pemacu perubahan dalam membina sebuah negara yang maju dan masyarakat desa lebih dinamik,” katanya.
KOMEN