PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.
Perkara itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pagi Jumaat selepas cadangan pelaksanaan garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa serta agama.
Kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang menyebut, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah umat Islam berhubung perkara ini, namun nasihat tersebut tidak bersifat dasar.
“Pada masa yang sama, Kementerian Perpaduan Negara akan terus menyemarakkan pelaksanaan Dialog Harmoni bagi memperkukuhkan keharmonian dan menggalakkan interaksi antara penganut pelbagai agama di negara ini,” kata mereka.
Tambah kedua-dua menteri itu, perbincangan yang inklusif dengan mengambil kira sensitiviti semua pihak adalah amat penting dalam membina kesepaduan nasional.
Justeru, segala perkara berkait rapat dengan keharmonian antara penganut agama akan dibincangkan secara lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK Harmoni) yang dipengerusikan bersama.
Mesyuarat JK Harmoni kali pertama dijadual diadakan pada bulan ini dan akan mendengar segala pandangan ahli-ahli yang terdiri 24 wakil penganut agama iaitu Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, Tao, Baha’i.
“Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian telah lama menjadi contoh perpaduan dan keharmonian kepada dunia.
“Kerajaan menyedari bahawa kestabilan negara bergantung kepada kesejahteraan rakyat yang hidup dalam suasana yang aman dan harmoni,” jelasnya.
Mohd Na’im dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat sebelum ini berkata, garis panduan itu dibangunkan bagi menggalakkan perhubungan sosial dan budaya harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk berbilang agama di negara ini.
Cadangan itu sebagai panduan buat orang Islam untuk menghadiri majlis perayaan atau upacara penganut agama lain dalam keadaan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah Islam.
Ia sebagai jawapan kepada pertanyaan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (Pas-Permatang Pauh) yang meminta Anwar menyatakan pendirian dan ketetapan kerajaan mengenai sambutan perayaan agama lain selain Islam di premis kerajaan.
Bagaimanapun perkara itu dikritik oleh beberapa pemimpin politik bukan Islam antaranya, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang menasihatkan Mohd Na’im supaya lebih berhati-hati dalam menangani isu sensitif ini kerana boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama.
Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong pula mendakwa kerajaan sedang membina tembok pemisah antara Islam dan bukan Islam manakala Presiden MCA, Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berkata cadangan tersebut sepatutnya diperhalusi oleh Kabinet terlebih dahulu sebelum diumumkan.
KOMEN