Home » Langit Terbuka » Pembekal sandwic ham di UM didakwa guna logo halal palsu

Pembekal sandwic ham di UM didakwa guna logo halal palsu

Pengarah sebuah syarikat pastri yang membekalkan sandwic didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas dakwaan menggunakan logo halal palsu. - Foto NSTP/GENES GULITAH

PETALING JAYA: Sebuah syarikat pastri dan pengarahnya yang membekalkan 366 sandwic pelbagai jenis yang tular di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM) didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 12 tuduhan menggunakan logo halal palsu supaya makanan itu boleh dimakan orang Islam, awal bulan ini.

Bagaimanapun, Pengarah syarikat Shake and Bake Cafe Sdn Bhd, Ewe Sarn Yeun, 65, mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dr Sharliza Warnoh dan Noor Ruzilawati Mohd Nor.

Mengikut enam pertuduhan, tertuduh didapati menawarkan untuk membekalkan 366 produk makanan sandwic membabitkan enam perisa yang diperihalkan dengan menggunakan logo halal Malaysia untuk menunjukkan makanan itu boleh dimakan orang Islam dengan cara bertentangan dengan Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Produk makanan itu membabitkan 50 Mixed Tuna Sandwic; 43 Mixed Potato Sandwic; 77 Mixed Chicken Sandwic; 74 Egg Mayo Sandwic; 66 Ham & Cheese Sandwic dan 56 Chili Crabstick Sandwic.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Shake and Bake Cafe Sdn Bhd, Sunway Damansara, di sini, pada jam 12.50 tengah hari, 10 Januari lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Perenggan 8(b) perintah yang sama yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8(B) perintah yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, syarikat berkenaan yang diwakili Ewe selaku pengarah juga tidak mengaku bersalah atas enam pertuduhan sama di lokasi, tarikh dan waktu sama mengikut Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang berdepan denda maksimum RM200,000, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ewe yang juga berstatus Pemastautin Tetap (PR) Amerika Syarikat dan syarikatnya tidak mengaku bersalah masing-masing didakwa satu pertuduhan menggunakan cap dagangan berdaftar iaitu logo halal Malaysia yang salah pada 366 bungkusan sandwic terbabit di lokasi, tarikh dan waktu yang sama.

Oleh itu, Ewe dan Shake and Bake Cafe didakwa mengikut Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815) dan dengan itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) akta sama yang boleh dihukum Seksyen 102(1)(i) dan Seksyen 102(1)(ii) akta sama bagi pengarahnya.

Bagi Seksyen 102 (1)(i), akta berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000, manakala Seksyen 102 (1)(ii) akta itu memperuntukkan denda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan cap dagang berdaftar itu secara salah, atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Shafiq Mahadi dan Hakiim Izani menawarkan jaminan RM60,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira ia membabitkan kes berkepentingan awam, selain memohon syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat KPDN, Putrajaya sebulan sekali sehingga kes selesai.

“Kes yang dipertuduhkan di mahkamah ini adalah rentetan daripada video yang tular di media sosial dan syarikat serta pengarah yang dipertuduhkan adalah pembekal kepada barangan yang menjadi isu.

“Sewajarnya pertuduhan ini memberi mesej kepada pembekal lain tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.

Peguam Hamdan Hamzah yang mewakili Ewe dan syarikat itu memohon jaminan RM120,000 bagi semua pertuduhan dengan mengambil kira reputasi anak guamnya yang memberikan kerjasama kepada KPDN sepanjang siasatan.

“Pihak kami menegaskan isu kepentingan awam dibangkitkan pendakwaan adalah bukan terhadap tertuduh ini, tetapi syarikat lain menjadi viral (tular) di dada akhbar dan media sosial, tidak membabitkan syarikat Shake and Bake Cafe,” katanya.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *