Shah Alam: Kesedaran melaksanakan tanggungjawab melunaskan hutang fidyah dalam kalangan umat Islam semakin tinggi apabila Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mencatatkan agihan kepada penerima meningkat kepada RM13,014,200 tahun lalu.
Pengerusi Mais, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, agihan bantuan fidyah itu meningkatkan berbanding jumlah agihan pada 2023 sebanyak RM11,999,720.
Menurutnya, sumbangan fidyah sebanyak RM13 juta itu diagihkan kepada 50,054 penerima layak sepanjang 2024.
“Daripada jumlah agihan itu, sebanyak RM4,451,526 diperuntukkan sumbangan dalam bentuk Agihan Fidyah Mais (AFM) Kotak Makanan, AFM Ejen Dapur Fidyah berjumlah RM1,346,474, AFM Tunai sebanyak RM2,374,500 dan AFM Wang Saku Pelajar berjumlah RM4,841,700.
“Sumbangan AFM Kotak Makanan dan AFM Ejen Dapur Fidyah diagihkan kepada penerima yang layak dalam bentuk Pakej Makanan Asasi terdiri beras, gula, kicap, sos cili, tepung gandum, minuman coklat, bihun, minyak kelapa sawit dan makanan dalam tin.
“Bagi sumbangan AFM Tunai pula dikreditkan ke akaun penerima yang layak dan AFM Wang Saku Pelajar juga wang tunai diagihkan kepada pelajar melalui Rakan Strategik Agihan Fidyah Mais (RSAFM), terdiri dari institusi pendidikan termasuk sekolah, universiti dan kolej berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Fidyah di Masjid Negeri, di sini, hari ini.
Abdul Aziz berkata, Mais berjaya membuat kutipan fidyah berjumlah RM12.9 juta pada tahun lalu untuk diagihkan tahun ini.
“Bagi tahun ini pula, Mais mensasarkan jumlah kutipan fidyah sebanyak RM16 juta manakala agihan sebanyak RM12.4 juta.
“Sasaran ini ditetapkan agar lebih ramai masyarakat Islam menerima manfaat dan bantuan dalam mereka menjalani kehidupan seharian.
“Mais turut melantik ejen kutipan fidyah bagi menyebarluaskan kutipan fidyah terutama di Selangor iaitu Lembaga Zakat Selangor (LZS), Malaysia E-Government (MYEG), Bank Muamalat Malaysia Berhad, As-Salihin Trustee Berhad dan Rakyat Trustee Berhad,” katanya.
Pada masa sama katanya, MAIS bekerjasama dengan RSAFM bagi membantu menyampaikan sumbangan fidyah terus kepada mereka yang layak secara efisyen, menyeluruh dan menepati golongan penerima.
KOMEN