IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk pembinaan Pusat Pengajian At-Taiyyibin di Tanah Hitam, Chemor dekat sini.
Beliau berkata ia merupakan tambahan kepada dana yang dikumpul oleh penduduk kawasan itu bagi membangunkan pusat pengajian berkenaan.
“Saya ucap penghargaan setingginya (kepada pihak pengurusan pusat pengajian itu) termasuk penduduk di sini yang telah mengambil ikhtiar sendiri, tanah wakaf, yang membangunkan adalah ikhtiar sendiri.
“Ini (ikhtiar sendiri) satu perkara yang sangat membanggakan kerana ilmu itu fadilatan (fadilat) kepada seluruh Muslim dan Muslimat dan matlamat kita itu sebenarnya nak didik masyarakat, angkat martabatnya dan beri kefahaman,” katanya ketika berucap pada majlis Lawatan Mahabbah dan Kenduri Rakyat di pusat pengajian itu dekat sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Penaung Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.
Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin merupakan sebuah institusi yang beriltizam menerajui bidang pendidikan ilmu Islam dan kemahiran bagi golongan warga emas, asnaf, mualaf, remaja dan dewasa (Bidang Tahfiz dan Pengajian Islam).
Pusat pengajian yang sedang dibangunkan itu mendapat sokongan barisan kepimpinan kerajaan negeri, agensi kerajaan, para ilmuwan selain masyarakat setempat.
Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata ikhtiar yang dilakukan oleh penduduk berkenaan bagi membangunkan pusat pengajian itu sangat bermakna kerana tidak bergantung kepada sumbangan kerajaan semata-mata.
“Saya ingat dalam tradisi Islam ini sukar disaingi, bina masjid itu pun menjadi tanggungjawab semua. Sesetengah orang dia salah faham dia ingat semua duit dari segi peruntukan tetapi mesti ada paling kurang RM1 mesti ada saham dia untuk membina masjid.
“Maknanya mengimarahkan, membangun masjid menjadi tanggungjawab semua, sebab itu saya beri perhatian khas di pusat pengajian ini kerana ikhtiar dia sepertimana pembinaan masjid itu. Membangun, membina, memakmurkan itu seruannya kepada semua kariah, jadi mesti ada saham RM1, RM10 atau RM100 mengikut kemampuan masing-masing,” kata Perdana Menteri. –AlHijrah Online
KOMEN