KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kini dalam usaha untuk memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk memudahkan urusan ibadah golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di masjid.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, usaha itu bertujuan untuk menjadikan masjid lebih inklusif, bukan sahaja untuk OKU fizikal namun mereka yang mengalami kesukaran mendengar dan melihat.
“Ini secara tidak langsung memberi kesedaran kepada pihak atasan tentang cabaran yang dihadapi golongan OKU di masjid.
“Oleh itu, penekanan akan diberikan dalam memastikan akses yang lebih baik supaya semua orang dapat mengimarahkan masjid tanpa sebarang kesulitan,” katanya selepas merasmikan Program Jelajah Ulama’ dan Umara’ Zon Tengah 2024, di sini, hari ini.
Beliau menyatakan demikian bagi mengulas isu yang diketengahkan seorang lelaki OKU yang menghadapi kesukaran ketika ingin mengambil wuduk menunaikan solat di Masjid Putrajaya.
Masalah itu telah dimuat naik oleh seorang lelaki OKU yang menghadapi masalah kaki, Raja Safuan dalam satu hantaran di laman Facebook, 31 Oktober lalu dikatakan perlu berjalan jauh untuk mengambil wuduk kerana tandas terdekat tidak dibuka kepada umum.
Sementara itu, Na’im berkata, beliau merancang untuk bertemu Raja Safuan secara peribadi dalam masa terdekat untuk mengetahui hal sebenar.
“Selain itu, mungkin ada cadangan penambahbaikan lain yang Raja Safuan ini sampaikan kepada saya. Ini adalah untuk kebaikan semua Umat Islam yang datang ke masjid,” tambahnya. – MalaysiaGazette
KOMEN