KUALA LUMPUR: Belanjawan 2025 membuktikan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, amat komited dengan usaha pembangunan syiar Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata atas dasar itu, agensi berkaitan Islam akan berusaha menjadi contoh terbaik dalam kecekapan pengurusan seperti dihasratkan Perdana Menteri melalui pembentangan Belanjawan 2025, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya bersama seluruh warga jabatan itu juga akan bertekad terus berusaha dengan semangat islah dan itqan bagi memastikan seluruh agensi Islam sentiasa memelihara tatakelola yang baik dan integriti.
“Saya mewakili Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan atas pembentangan Belanjawan 2025,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Melalui pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan RM2 bilion bagi tujuan pengurusan hal ehwal Islam, meningkat sebanyak RM0.1 bilion berbanding tahun 2024.
Selain itu, kerajaan Malaysia turut menyediakan RM150 juta untuk menyelenggara prasarana pendidikan Islam JAKIM seperti sekolah pondok, sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat.
Kerajaan juga bersetuju memberikan sumbangan khas sebanyak RM500 kepada lebih 70,000 imam, bilal, siak, noja, marbut, guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan guru takmir, membabitkan peruntukan RM35 juta.
Pada masa sama, kerajaan bersetuju untuk menambah kuota guru KAFA sebanyak 1,500 orang selari dengan tuntutan pendidikan Fardu Ain untuk anak-anak.
KOMEN