Home » Langit Terbuka » Jangan keliru, RUU Mufti hanya terpakai untuk orang Islam

Jangan keliru, RUU Mufti hanya terpakai untuk orang Islam

MUSA Awang. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Dakwaan segelintir pihak berkaitan fungsi dan kuasa mufti di bawah sistem perundangan negara perlu diperbetulkan berikutan pandangan berkenaan akan mengelirukan.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, dakwaan mengelirukan dikeluarkan segelintir pihak, tidak mencerminkan matlamat Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024, yang akan dibentangkan pada sidang Parlimen, esok.

Katanya, RUU Mufti hanya terpakai untuk orang Islam sahaja dan untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, malah pemakaiannya tidak boleh melangkaui ke negeri lain dalam Malaysia seperti diperuntukkan dalam Seksyen 1 (2).

“RUU Mufti tidak memberikan kuasa tanpa batasan atau kekebalan undang-undang kepada mufti kerana ia tidak terpakai kepada orang bukan Islam serta hanya orang Islam yang mengingkari, melanggar atau mempertikaikan fatwa diwartakan sahaja boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Walaupun sub-seksyen 15 (3) RUU itu menyatakan mufti tidak boleh dipanggil atau disaman untuk memberikan pendapat atau keterangan atau menjadi saksi bagi satu-satu perbicaraan yang berhubungan dengan hukum syarak di mana-mana mahkamah, namun affidavit atau keterangan bertulis mufti sebagai pendapat pakar masih boleh diterima di mahkamah.

“Peruntukan ini bertujuan untuk menjaga maruah dan peribadi mufti daripada bersoal jawab di mahkamah, yang terbuka kepada pemeriksaan utama dan balas, yang mana ia boleh menjejaskan kredibiliti dan merendahkan kedudukan mufti sebagai penasihat kepada Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Mahkamah Syariah masih berhak untuk berijtihad dalam kes di hadapannya.

“Suatu fatwa yang dikeluarkan mufti lebih kepada persoalan umum yang memerlukan penentuan dan penetapan hukum Syarak.

“Berbeza keadaannya, isu dan persoalan di hadapan mahkamah Syariah lebih bersifat khusus kepada permasalahan pihak yang hadir di hadapannya, dengan mendengar dan mengambil keterangan dalam pemeriksaan terhadap pihak, saksi dan penelitian kepada dokumen yang ditenderkan kepada mahkamah.

“Terdapat kes yang menjadikan fatwa dan pendapat mufti sebagai rujukan serta diterima dalam penghakiman, namun terdapat juga kes yang memutuskan sebaliknya,” katanya.

Katanya, jika berlaku sebarang kekhilafan atau kekeliruan terhadap sesuatu fatwa yang diwartakan, mufti atas inisiatifnya sendiri atau atas permintaan mana-mana pihak, selepas berunding dengan Jawatankuasa Fatwa, meminda, mengubah suai atau membatalkan mana-mana fatwa dikeluarkan berdasarkan Seksyen 12 RUU Mufti.

“Tatacara meminda, mengubah suai atau membatalkan sesuatu fatwa adalah jauh lebih mudah kerana ia tidak perlu di bawa ke Parlimen.

“PGSM berpandangan, dakwaan dan hujah yang dikemukakan sesetengah pihak ini mungkin bertujuan mengaburi pandangan masyarakat untuk menentang RUU Mufti itu, serta mengaburi ahli Parlimen untuk menolak RUU ini semasa pembentangan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sidang Parlimen Oktober ini.

“Justeru, PGSM menyeru semua masyarakat dan ahli Parlimen mendapatkan maklumat yang tepat dan menyokong RUU Mufti itu,” katanya.

Sebelum ini, Kabinet bersetuju RUU Mufti dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sidang Parlimen yang bermula esok.

Bagaimanapun, segelintir pihak mengeluarkan kenyataan mengelirukan dan memberi tanggapan termasuk RUU itu akan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam dalam sekelip mata, melanggar Perjanjian Malaysia 1963, serangan secara langsung terhadap sistem sekular di negara ini, memperluas kuasa mufti di Wilayah Persekutuan, mengenepikan sistem raja berperlembagaan, kerajaan Madani dan demokrasi berparlimen sekular yang menjadi asas Malaysia.

Malah, ada pihak mendakwa RUU Mufti itu akan memberikan kuasa tanpa batasan dan kekebalan undang-undang kepada pihak berkuasa agama, memberikan kuasa luas kepada mufti yang membolehkan fatwa dikeluarkan dan memberi kesan besar kepada umat Islam dan bukan Islam, boleh memintas kuasa Parlimen dan mahkamah selain meletakkan undang-undang agama di atas undang-undang sivil.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *